Tidak Mustahil PAS Keluar Pakatan Rakyat - Muhammad Taib




Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib yakin Pas akan keluar daripada Pakatan Rakyat berdasarkan kepada masalah dalaman yang semakin meruncing.
Menurutnya, apa yang dapat dilihat Pas kini tidak lagi sebulu dengan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam banyak perkara sehingga boleh dilihat kurangnya penglibatan pemimpin dan ahli parti itu dalam program-program rasmi kerajaan negeri.
Katanya, fenomena ini sekaligus membuktikan bahawa di kalangan pakatan pembangkang itu sendiri sememangnya ada berlaku pergolakan dan yang pasti pemimpin Pas kini sudah mula berkecil hati.

“Saya mendapat maklumat banyak majlis rasmi yang dianjurkan ramai pemimpin dan ahli Pas tidak hadir dan ini jelas menunjukkan di kalangan parti pembangkang ada masalah dalaman yang meruncing,” katanya yang dipetik dalam blog rasmi beliau.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, banyak keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat hanya menguntungkan golongan tertentu dan sebagai contoh pada majlis sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan Selangor baru-baru ini wang sumbangan daripada syarikat swasta telah dimasukkan dalam akuan PKR menyebabkan parti-parti lain khususnya Pas begitu kecewa.
Begitu juga isu bila Dewan Pemuda Pas Selangor mengemukakan memorandum bantahan dua penyanyi wanita tempatan, Ella dan Mas Idayu sempena perlawanan Bola Sepak Piala Sultan Selangor pada 6 Julai lalu.

“Saya melihat bagi pakatan parti politik, bibit bibit ketidakpuasan hati sebegini merupakan `retak menanti belah’,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang lain Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat secara terang terangan menyatakan perasaan kecewa beliau dengan perjalanan perhimpunan Protes Sejuta Rakyat – Protes Sampai Turun pada Ahad lalu 5 Julai di Stadium Kelana Jaya yang bertukar menjadi majlis `seronok-seronok’.
Menurutnya beliau tidak terfikir program yang digerakkan oleh Pakatan Pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak turut diselitkan dengan persembahan muzik liar dan melampau itu.

“Saya kecewa betul, saya tak terfikir benda itu boleh berlaku, macam mana saya pun tak faham,” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju dengan tindakan ahli Pas termasuk unit amalnya yang dikatakan bertindak keluar dari stadium kerana tidak menyenangi apa yang berlaku.

“Saya memang setuju, buat apa kita turut orang, turun dari rumah kita nak protes, tiba-tiba sampai di sana, orang lain buat cara bukan nak protes, tapi nak seronok, tak boleh,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID