13 June 2009

Sejarah Komunis dan Chin Peng



CHIN Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi bersenjata yang didokongnya banyak menumpahkan darah.

Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.-Pastinya perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

Di jangka seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat anggota kerana bertempur dengan komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang.

Elok rasanya kita menyingkap sejarah pergerakan komunis di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada 1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern), terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai kaum Cina. Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.

Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International TradeUnion Organisation (Profintern). General Labour TradeUnion’ di Singapura turut dipengaruhi komunis. Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928 Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930 menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan Communist Youth.


Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur. Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal pengurusannya.

Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan yang sah (1945-1948).

Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kekejaman.

Apabila British kembali pada awal September 1945 dan mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan didalangi komunis. Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong.

Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).

Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah jerangkap samar yang mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak perjanjian Damai Baling dengan Tungku Abdul Rahman dan meneruskan perjuangan bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (PNM). Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis antarabangsa di Tanah Melayu.
Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu Cheong dan Musa Ahmad. Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan fahaman kiri ini. Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga Anti-Imperialis. Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri.

Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang. Wakil PKM iaitu Rashid Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947. Beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan. tapi beliau gagal. Pada tahun 1950, komunis telah melancarkan perperangan di muar johor yang mana sebuah balai polis yang terpencil di kampung bukit kepong telah menjadi mangsa keganasan kominis. Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu tetapi gagal.

Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975). Tugu Negara juga turut dibom pada 1975. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.

Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan di negara ini?

2 comments:

sapeq said...

1 maklumat sejarah yg mnarik dan penting untuk diketahui. trima kasih krane menulisnye. bro, bole x saye cut n paste sikit bahan dlm blog ni ke blog sapeq?

spyperak said...

salam
saya sedang mencari maklumat mengenai sejarah komunis di sungai lebih (felda aring) gua musang.
Boleh bantu saya?