Breaking News
Loading...
October 11, 2011

Info Post

Isu Dana Sekolah Tamil

Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Daerah Klang meminta polis menyiasat Dr. Xavier A. Jayakumar yang didakwa menyalah guna kuasa dalam pengagihan Tabung Dana Sekolah-Sekolah Tamil Selangor berjumlah RM1.67 juta.

Laporan dibuat oleh anggota jawatankuasa PIBG Daerah Klang, G. Jeganathan, 44, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Xavier merupakan Exco Kerajaan Selangor didakwa mengagihkan wang tabung tersebut yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tiga NGO yang didakwa menerima peruntukan itu adalah Pusat Pembangunan, Pembelajaran dan Maklumat Kanak-Kanak (CHILD), Yayasan Penyelidikan, Kebajikan dan Pendidikan (EWRF) serta Yayasan Tamil.

“Sepatutnya wang peruntukan itu diberikan terus kepada lebih 90 sekolah Tamil atau PIBG di Selangor,” kata Jeganathan.

Laporan itu dibuat kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan Xavier menyalurkan wang RM1.67 juta itu kepada tiga NGO dan bukannya kepada pihak PIBG atau sekolah-sekolah Tamil Selangor seperti yang sepatutnya.

“Saya tidak berpuas hati dan saya mahu polis menyiasat perkara ini.

“Mengapa kerajaan negeri tidak menyerahkan terus wang tersebut kepada pihak sekolah atau PIBG seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang?

“Kenapa wang itu perlu diberikan kepada NGO dan kemudian memberi alasan ia akan disalurkan semula kepada pihak sekolah?” katanya.

Beliau mendakwa, jika wang tersebut disalurkan kepada NGO, dibimbangi ia tidak akan digunakan untuk membangun dan menaik taraf sekolah-sekolah Tamil di Selangor yang kebanyakannya daif.

Dakwanya, ini terbukti kerana tiada wang diserahkan oleh pihak NGO terlibat kepada sekolah-sekolah Tamil setakat ini.

Kata Jeganathan, beliau telah menghantar surat kepada Xavier untuk mendapatkan penjelasan mengapa peruntukan itu disalurkan kepada NGO tetapi masih belum mendapat jawapan.

1 comments:

Anonymous said...

dulu tuduh umno rembat duit rakyat, sekarang segala tuduhan tu kena balik atas batang hidung mereka, rugilah siapa yang mengundi mereka dalam pru lepas.