Nazir Razak Tujukan Artikel Ini Kepada Siapa...??? (Artikel Panjang)

HARI ini, 14 Januari 38 tahun yang lalu, pada tanggal 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia di London disebabkan komplikasi daripada leukemia.

Malaysia kehilangan seorang Perdana Menteri. Saya kehilangan seorang ayah. Malaysia ketika itu berusia 19 tahun. Saya, sembilan tahun.

Hari-hari berikutnya kami berada dalam kesedihan, seakan-akan diselimuti kabur sementara seluruh Malaysia ‘meratap’ atas pemergiannya.

Saya perlu akui, pada usia saya yang terlalu muda ketika itu, saya kadang kala merasakan bahawa beliau terlalu mengutamakan urusan negara dan meninggalkan sedikit sahaja kenangan untuk kami sekeluarga.

Bagaimanapun, saya tidak pernah sekali pun berasa ragu akan sikap dedikasi beliau dan tidak mementingkan diri dalam memikul tanggungjawab dan perhatian terhadap negara kita yang sedang baru membangun. Ia tetap tersemat di hati ini.


Saya tidak berkesempatan untuk ‘mengenal’ beliau. Tetapi, kesan mendalam yang terpahat dalam diri ini adalah nilai-nilai yang beliau sampaikan dan integriti diri yang beliau tekankan yang mengatasi segala-galanya.

Ya, ini juga termasuklah ke atas keluarganya. Saya teringat kepada satu peristiwa di mana kami adik-beradik telah meminta beliau membina sebuah kolam renang di kawasan rumah kami, di Seri Taman, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.

Oleh kerana beliau adalah seorang peguam yang terlatih, beliau telah mengarahkan kami supaya membentangkan kes bagi permintaan ini dan bersedia dengan hujah-hujah yang lojik dan rasional.

Kami benar-benar fikirkan bahawa kami telah mengutarakan cadangan yang bernas dengan hujah-hujah yang mantap, sehinggalah kami terlihat air mukanya yang semakin berubah dan diiringi dengan tenungan yang tajam.

Ayahanda saya memberitahu dengan jelas bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman rasmi kami, ia sebenarnya hak negara; bermakna, hak rakyat.

Apa sahaja yang dibelanjakan untuk rumah itu adalah daripada tabung negara dan beliau tidak akan membenarkan negara menampung perbelanjaan bagi sesuatu yang tidak penting seperti kolam renang. “Apa akan rakyat fikir nanti?” tengking beliau.

Ketika usia saya semakin meningkat, saya berusaha untuk mencari maklumat daripada mereka yang mengenali beliau, termasuk mereka yang pernah bekerja dengannya di dalam kerajaan, ahli politik, mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dan lain-lain, termasuklah daripada kalangan teman-teman beliau.

Ini adalah satu-satunya cara untuk saya mengenalinya. Dalam hampir kesemua perbualan saya, saya dapati, perkara yang paling ketara dan terkesan sekali ialah nilai-nilai yang dipegang teguh oleh beliau.

Sebagai pemegang amanah kepada tabung negara, sikap berhemat beliau dalam berbelanja adalah legenda. “Kamu mesti bertanggungjawab terhadap setiap sen yang dibelanjakan, jika tidak beliau akan meminta penjelasan yang terperinci,” kata seorang bekas menteri kepada saya.

Sebenarnya saya memang sudah sedia maklum akan perkara ini. Bukan kerana episod kolam renang itu sahaja, malah daripada peristiwa-peristiwa lain. Abang-abang  saya sering bercakap tentang pengalaman mengiringi beliau ke Switzerland dalam satu lawatan rasmi - iaitu peluang yang jarang-jarang sekali mereka perolehi.

Saya diberitahu bahawa beliau memastikan segala kos penginapan ditanggungnya sendiri dan oleh kerana beliau seorang yang amat prihatin tentang pembiayaan yang dikeluarkan oleh negara, beliau menempatkan rombongannya di penginapan yang lebih murah daripada yang telah dirancang dan selama abang-abang saya berada di sana mereka hanya makan di restoran yang paling murah yang berdekatan dengan hotel.

Dan kemudian, pada Oktober 1975, iaitu ketika perjalanan terakhir beliau ke Eropah untuk rawatan perubatan, mungkin beliau telah merasakan bahawa perjalanan itu adalah yang terakhir, tetapi oleh kerana beliau ingin berjimat cermat, beliau tidak membenarkan ibu saya mengiringinya, mungkin juga kerana beliau mahukan supaya ibu mempunyai simpanan yang cukup dan  berada di dalam kemampuan bagi meneruskan kehidupan apabila ketiadaan beliau kelak.

Ibu, bagaimanapun, dapat bersama beliau beberapa minggu, kemudiannya atas desakan Kabinet, yang mengeluarkan kebenaran untuk menggunakan wang negara bagi keperluan perjalanan ke sana.

Satu lagi sifat istimewa yang dikaitkan dengan perwatakannya ialah  integriti beliau. Beliau sentiasa berpandukan kepada prinsip yang sekarang mungkin dilihat sebagai kolot atau gaya lama dalam melaksanakan tanggungjawab, iaitu penjawat awam adalah terlebih dahulu merupakan ‘hamba’ kepada rakyat yang mana kepercayaan tersebut tidak seharusnya dikhianati.

Juga beliau sentiasa dikaitkan dengan stamina yang kuat. Ramai yang terperanjat apabila mengetahui yang beliau menghidap penyakit leukemia. Ini kerana semasa memegang jawatan, beliau sentiasa aktif; memberi perhatian terhadap urusan rasmi, meneliti semua dasar terperinci dan tentu sekali lawatan mengejut yang sering beliau lakukan ke kawasan-kawasan di seluruh negara.

Lawatan-lawatan ini mengeratkan lagi perhubungan beliau dengan rakyat dan membantu beliau secara peribadi untuk memahami apa yang berlaku di bawah.

Tentu sekali orang terlupa akan dedikasi yang ditunjukkan beliau ke atas pembangunan kawasan luar bandar. Dari mula lagi Tun Razak sentiasa berpegang kepada prinsip “Rakyat Diutamakan”, satu pegangan yang beliau pertahankan, dari dulu lagi sebelum konsep ini menjadi sebutan ramai.

Tetapi, yang paling dipersetujui oleh mereka yang mengenalinya ialah komitmen Tun Razak kepada keharmonian dan penyatuan negara – ke arah membina sebuah negara yang memberi peluang dan tempat kepada setiap rakyat di bumi Malaysia ini.

Visi ini diserapkan di dalam dua inisiatif yang beliau terajui semasa tragedi 13 Mei – penggubalan Rukun Negara pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.

Rukun Ngara berperanan untuk menyatukan rakyat dengan pelbagai latar belakang dan budaya menerusi sebuah negara yang sekular.

DEB pula adalah dasar yang menegakkan perpaduan negara melalui percubaan secara besar-besaran di dalam pembangunan sosio-ekonomi dengan serampang dua mata iaitu menghapuskan kemiskinan tanpa mengira bangsa dan membangunkan semula ekonomi dengan tujuan untuk menghapuskan sebarang kaitan ekonomi dengan sesuatu kaum.

Perdebatan mengenai DEB masih berterusan. Saya sendiri secara terbuka telah menyatakan bahawa terdapat kesilapan di dalam pelaksanaannya. Pelaksanaan sistem kuota yang ditetapkan yang membuka laluan mudah yang menguntungkan segelintir pihak sahaja telah melahirkan jurang kelas dan status yang besar di kalangan kaum itu sendiri dan mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat di luar kaum itu sendiri. Tentu sekali ini mengakibatkan ketegangan di antara kaum.

Kedua-dua keadaan ini hanya melemahkan, malah menidakkan matlamat rangkuman DEB yang dicetuskan oleh Tun Razak, iaitu sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan negara.

Di manakah silapnya? Ada yang berpendapat bahawa kesilapan itu adalah hasil daripada langkah-langkah afirmatif itu sendiri. Bagi saya ia disebabkan perlaksanaan yang terlalu tertumpu kepada pendekatan taktikal sedangkan sepatutnya tumpuan dan komitmen harus diarahkan kepada matlamat yang strategik.

DEB tentu sekali telah membantu membanteras kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi apabila terbentuknya kelas pertengahan untuk kaum Melayu. Bagaimanapun, boleh dikatakan pada keseluruhannya DEB terbukti berjaya mengurangkan konflik antara kaum selepas tragedi 13 Mei.

Bertuah juga kerana nasib Malaysia tidak seperti Sri Lanka, di mana pergolakan dan perbalahan berterusan berdekad lamanya di antara pendatang Tamil dan kaum asal Sinhalese.

Pencapaian DEB bukanlah kecil tetapi matlamat DEB masih belum lagi tercapai kerana DEB sebenarnya adalah untuk mengukuhkan perpaduan negara. Hakikatnya, ada tanda-tanda sekarang ini yang menunjukkan ketegangan di antara kaum semakin menjurus ke arah titik yang membimbangkan.

Apa yang boleh dilakukan? Ada pepatah Melayu yang berbunyi: “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan,” yang bermaksud “apabila kita tersesat, pulanglah ke tempat asal”.

Dan pada hemat saya, perkataan ‘asal’ di sini bererti ‘nilai-nilai’, ‘kesungguhan’, ‘visi’ dan ‘pendekatan inklusif’; yakni sifat-sifat yang terkandung di dalam diri Tun Razak.

Saya telah pun menyebut tadi tentang komen-komen mengenai integriti diri beliau, komitmennya terhadap perkhidmatan awam dan visinya ke arah sebuah masyarakat Malaysia yang progresif, makmur dan bersatu padu. Izinkan saya mengakhiri dengan menekankan dua lagi kemuncak legasi beliau.

Pertama, Tun Razak adalah seorang demokrat yang sejati. Selepas dua tahun mengepalai Majlis Gerakan Negara (Mageran), ekoran insiden 13 Mei 1969, beliau telah membubarkan jawatankuasanya dan mengembalikan peraturan demokratik.

Walaupun beliau memegang kuasa sebagai Ketua Mageran, pandangan dan nilai-nilai yang diterapkan adalah berasaskan peraturan demokratik dan bukan pemerintahan diktator atau ‘kuku besi’.

Cara beliau membuat keputusan membuktikannya: beliau akan mendengar pendapat dari semua yang terlibat dan berunding secara berhemat sebelum mengambil keputusan muktamad.

Beliau tidak pernah mengetepikan pandangan daripada mereka yang mungkin bercanggah pendapat dengannya, malah beliau mengalu-alukan kepelbagaian pendapat supaya peluang membuat pilihan yang paling tepat terlaksana.

Yang kedua, sementara beliau berlaku komited untuk membantu kehidupan Bumiputera agar menjadi lebih baik dan tidak berulangnya lagi tragedi 13 Mei, beliau beranggapan bahawa ini adalah tanggungjawab negara dan bukan  dilakukan kerana sesebuah bangsa.

Ini, bagi saya, menunjukkan kesungguhan beliau kerana beliau melibatkan tokoh-tokoh yang terbaik dan pintar dalam mengusahakan perkara ini, tidak mengira bangsa atau keturunan. Buatlah semakan dengan mereka yang bertugas sewaktu pentadbiran beliau.

Kesemua mereka adalah rakyat Malaysia, bersatu padu di dalam keazaman untuk membina semula sebuah negara, membersihkan ‘debu-debu’ selepas tragedi 13 Mei.

Itulah legasi Tun Razak untuk Malaysia. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada legasi ini dengan kembali ke “pangkal jalan”.


Penulis adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.

Comments

Anonymous said…
Kita tak persoal jiwa Tun Razak......yg kita persoal jiwa Najib dan Nazir......
Tun Razak memahami sejarah negara dan sejarah politik negara.........malangnya Najib dan Nazir tidak....kerana dibesarkan dgn penuh kemewahan dan kemudahan hidup.....sebab itu mereka tiada kebijaksanaan menangani kemelut kenegaraan dan realiti politik negara ini.......kebolihan mereka hanya berlindung dan menumpang nama Tun Razak.
Najib perlu diturunkan dan Nazir jgn diberi keistimewaan sebelum negara ini jahanam.
Anonymous said…
Anon 10:18,
Bodohlah kamu ni. Nazir menulis artikel ini sebagai tanda mengenang arwah ayahnya. Yang tersirat, banyak yang boleh kita pelajari. Hang nak ambil peluang balun Najib dan Nazir di sini pasal apa? Hang nak bagitau Anwar lebih bagus? Kaki jubur tuh ?
Anonymous said…
sebenarnya dia nak tuju kat abang dia yg takut bini..dia nak kata bini abang dia@rosmah pemboros tapi abang dia takut nak tegur..dia nak ingatkan abang dia betapa berhemahnya bapa mereka berbelanja..harap abang clueless itu sedar apa yg cuba nak disampaikan oleh nazir adindanya..
Anonymous said…
Aku setuju dgn anon 13.34pm. Nazir cuba nak buat perbandingan antara rosmah dan ibunya tun rahah. Walau pun ketika tun razak sakit tapi tun rahah tak sewenang2 guna duit rakyat utk ke luarnegara tak macam rosmah sikit2 pergi oversea.
Anonymous said…
Al Fatihah utk Allahyarham Tun !
Anonymous said…
Dua2 anak tun pembelot bangsa, korup dan oppurtunis
Anonymous said…
Saya amat setuju dengan komen anon 10:18 dan 12:34. At the same time Nazir pun perlu sedar cukup-cukup lah buat duit tu. Arwah Tun Razak tinggalkan harta yang amat sedikit. Tak kan family korang disebabkan Najib adalah PM nak kumpul dan tinggalkan harta bergunung-gunung? Takut lah kira-kira di akhirat nanti. Allah kalau nak ambil, habis semua, especially korang jadi percakapan rakyat.

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID