Pejuang Yang Kini Di Lupakan, Orang Macam Nie Dapat Gelaran Datuk...


Sepatutnya pejuang macam nie la yang patut di beri gelaran datuk atau tan sri, sepatutnya pejuang macam nie dapat tanah atau apa sahaja benda yang sesuai dengan jasanya kepada negara kerana menentang komunis...

Memang dia tak minta balasan atas keringat yang dia curahkan untuk negara, tetapi jasa dan pengorbanan dia harus kita kenang, di waktu kita senang lenang di rumah bermain dengan anak cucu, dia mempertaruhkan nyawa dia untuk kita semua...

Ikuti kisah perjuangan salah seorang hero komando 69 (VAT69) Sarjan Mejar (SM) Apot Anak Saad

Sebuah jam tangan dirampas daripada anggota komunis dan beberapa pingat sebagai kenangan untuk simpanan Apot.

SATU ketika dulu, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan ramai terutama oleh pasukan keselamatan. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Apot A/K Saad umpama pembawa tuah dalam setiap operasi menjejak dan memerangi pengganas komunis.

Jika ada pasukan keselamatan yang gagal mengesan, menjejaki atau menggempur lokasi komunis, tapi Apot pasti boleh. Itulah antara kata-kata harapan bila menggambarkan siapa Apot ini yang diakui sebagai penjejak atau treker belantara.

Kebolehan Apot yang dianggap 'pakar' penjejak menyebabkan Orang Asli dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis. Kebolehannya bukan sahaja dapat menghidu dan mengesan jejak musuh walaupun sudah berminggu, malah beliau juga tahu membezakan antara jejak manusia dan haiwan.

Jika ada pengganas komunis cuba mengelirukan jejak dari dikesan pasukan keselamatan, namun Apot dapat membuka semula jejak tersebut. Hutan belantara Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak yang begitu tegar dengan aktiviti komunis dan jerangkap samar, menjadi kawasan permainan Apot.

Kebolehan Apot ketika tahun-tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an telah mengharumkan nama PDRM dan juga unit elit jabatan itu, 69 Komando atau VAT 69.

Kemahiran menjadi penjejak dimiliki Apot itu turut diserapkan kepada pasukan tentera dan komando negara asing seperti dari New Zealand dan Australia.

Karier Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq sebelum beralih ke VAT 69 pada 1970. Sebagai anggota Senoi Praaq, beliau dianggap antara kalangan perintis Orang Asli di negara ini yang berjuang menentang komunis.

Negara ketika itu memang memerlukan peranan Orang Asli bagi menentang komunis yang menjalankan peperangan ala gerila. Kerana tekun dengan tugasannya sebagai penjejak, Apot mempunyai rekod peribadi, berjaya menembak mati lima pengganas komunis dan terlibat dalam 15 pertempuran.

Ini tidak termasuk tugas-tugasan lain di mana beliau mendahului mengesan jejak sebelum diserahkan kepada penjejak lain. Namun, semua kebanggaan itu hanya tinggal kenangan bagi Apot yang kini berusia 62 tahun selepas bersara dari VAT 69 dengan pangkat Sarjan Mejar.

Mungkinkah hanya rakan-rakan seperjuangan Apot sahaja yang mengetahui pengorbanan dilakukan oleh beliau selama ini untuk negara? Yang pasti, kini Apot hanya menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai penoreh getah di kawasan kebun. Agak terkejut apabila diberitahu, kebun getah itu pula bukan milik beliau sebaliknya ia diteroka di tanah rizab Orang Asli.

''Itu bukan tanah saya. Saya terokai sejak lama dulu. Kami Orang Asli banyak teroka tanah untuk mencari rezeki. Saya menoreh untuk tambah pendapatan. Kalau tidak, sumber pendapatan saya hanyalah dari pencen polis ,'' katanya ketika memulakan perbualan dengan Utusan Malaysia.

Sambil merenung jauh, beliau terdiam sejenak apabila penulis mengajukan pertanyaan lain. Seolah-olah sukar untuk beliau menceritakan perjalanan hidupnya semasa menjadi penjejak dalam VAT 69 dan juga selepas bersara.

Namun penulis dapat melihat matanya perlahan-lahan berair, menandakan jauh di sudut hati pasti beliau tertanya-tanya apakah cerita yang hendak disampaikan mengenai pengorbanannya selama ini kepada negara dihargai.

''Sekarang saya dah jadi penoreh getah, pukul 6.30 atau 7 pagi dah keluar rumah untuk pergi menoreh. Dalam gelap, saya gunakan lampu suluh. Kalau dari jauh nampak seperti cahaya lampu sedang bergerak.

"Bila teringatkan masa operasi dulu, saya juga sering melihat penoreh getah dengan lampu suluh di kepala. Yang nampak hanya cahaya lampu bergerak dan kita tahu mereka adalah penoreh getah,'' katanya yang dilahirkan di Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Perak.

Ketika kanak-kanak lagi Apot sudah mengikuti bapanya masuk ke hutan untuk memburu dan mencari hasil-hasil hutan. Apabila berusia 17 tahun, beliau pergi memburu bersendirian.

Perjalanan hidupnya sebagai kaum Semai dan sering memburu seorang diri membolehkan dia mengenali keadaan hutan belantara. Semasa berada di tingkatan tiga, Apot berhenti sekolah.

Pada tahun 1968, beliau menyertai pasukan Senoi Praaq. Antara pengalaman menarik dilalui ialah semasa operasi sekitar kawasan Bentong, Pahang pada tahun 1980-an.

Dalam operasi itu, Apot bersama dua platun anggota dan pegawai melibatkan 24 orang ditugaskan untuk mengesan jejak musuh. Setelah enam hari menjejak seluruh kawasan belantara di situ tanpa sebarang kesan, akhirnya mereka bersiap sedia untuk pulang.

"Ketika berehat makan, saya tinjau seorang diri sekitar kawasan tempat kami berkumpul. Saya terkejut apabila mendapati kesan tanah dari tapak kasut. Dari perhatian saya, ia mungkin sudah dua atau tiga hari lalu. Saya maklumkan kepada pegawai, namun tiada reaksi darinya mengatakan ia benar-benar kesan tapak komunis.

''Kerana tak puas hati, saya terus tinjau kawasan tersebut dan semasa melalui sebuah permatang, saya melihat terdapat geseran pada sebatang pokok kayu. Saya percaya ia kesan dari tali senjata api atau tali beg yang terkena pokok berkenaan,'' katanya.

Apot kemudian memanggil seorang lagi rakan Orang Asli yang juga menjadi penjejak dalam pasukan berkenaan. Setelah yakin, Apot memaklumkan sekali lagi kepada pegawainya dan ini menyebabkan platun berkenaan meneruskan operasi menjejak.

''Kami kemudian menemui penempatan komunis yang telah ditinggalkan, ini menguatkan lagi bahawa kawasan di situ terdapat pengganas komunis,'' katanya.

Keesokannya kira-kira pukul 3 pagi, setelah bermalam di sebuah puncak bukit, pasukan tersebut melihat pergerakan lampu-lampu suluh dipercayai para penoreh getah. Namun, mereka tidak dapat pastikan sama ada mereka itu pengganas komunis atau orang awam.

''Kami terpaksa tunggu sehingga hari cerah. Kemudian kami lihat terdapat kepulan asap dari bukit bersebelahan. Kami kemudian mara ke puncak berkenaan sehingga 50 meter ke penempatan sasaran dan melihat terdapat lelaki bersenjata. Kami kemudian rapat lagi sehingga 20 meter sebelum melakukan serang hendap,'' kata Apot.

Pertempuran lebih 30 minit itu menyebabkan lapan pengganas termasuk tiga wanita berjaya ditumpaskan. ''Inilah pertempuran hebat yang pernah saya lalui selain 14 pertempuran lain,'' katanya.

Menjawab pertanyaan, Apot berkata, dia berpegang kepada prinsip jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas sebagai penjejak. Baginya, peranan penjejak amat penting kerana bakal menentukan sama ada pasukan keselamatan dapat melakukan serang hendap atau diserang hendap oleh musuh.

''Kalau penjejak gagal atau dikelirukan ekoran tipu muslihat komunis, maka pasukan keselamatan akan diserang hendap. Kita pun tahu, berapa banyak pasukan keselamatan diserang hendap komunis hingga mengorbankan banyak nyawa.

''Bagi saya, jujur menjalankan tugas tanpa memikirkan habuan dan ikhlas dalam setiap pekerjaan. Ini penting dalam memastikan rakan sepasukan tidak menjadi mangsa serangan hendap.

''Kalau kita temui sesuatu jejak, lalu jejak itu kemudian hilang, maka hendaklah ia dicari sehingga dapat menemui kesan baru. Yang penting jangan putus asa,'' katanya.

Pengalaman bertempur di hutan belantara banyak mengajar beliau mengenai kehidupan dan kesetiaan. Sesuatu yang menarik, sepanjang kariernya, belum pernah platun disertai Apot menjadi mangsa serangan hendap.

Sebelum bersara, Apot pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) tapi hanya rakan-rakan rapat sahaja mengunjungi beliau. Sejak itu terlintas di fikiran beliau, adakah jasanya selama ini hanya sekadar mencurahkan air di daun keladi.

Bagi Apot, beliau tidak sekali-kali kecewa setelah bersara walaupun tiada anugerah atau gelaran tertinggi diberikan kepadanya.

Cerita-cerita mengenai pengorbanan serta keberanian beliau kini hanya dikisahkan kepada tujuh orang cucunya yang sering berkunjung ke rumahnya di Kampar, Perak. Kisah-kisah kebolehan sebagai penjejak itu sedikit sebanyak dapat mengubat hatinya apabila diceritakan kepada cucu-cucunya itu.

''Apabila cucu-cucu saya datang, mereka minta saya ceritakan pengalaman semasa menentang komunis dalam hutan. Masa itulah saya merasa puas hati kerana masih ada insan yang sudi mendengar kisah-kisah silam saya,'' katanya.

Menjawab pertanyaan penulis, beliau berkata: ''Hanya beberapa pingat sahaja diberikan sebagai mengenang jasanya. Tapi bukan SP (Setia Pahlawan) atau PGB (Pingat Gagah Berani). Tapi saya tidak berkecil hati kerana saya selama ini dapat menjaga keselamatan negara,'' katanya.

Bagi Apot, beliau hanya meminta rakan-rakan dalam pasukan keselamatan dan juga masyarakat supaya dapat terus memastikan keamanan negara terpelihara.

''Jangan sia-siakan pengorbanan saya serta rakan-rakan yang telah lama bersara. Dulu kami terpaksa berlapar dalam hutan, makanan dicatu, tak cukup tidur dan tinggalkan anak bini berbulan-bulan, nyawa pula di hujung peluru, semuanya semata-mata nak tengok rakyat jelata dapat hidup aman.

''Saya tidak minta balasan tanah, pangkat, gelaran atau habuan wang ringgit...memadai kenangkan pengorbanan ini,'' katanya mengakhiri perbualan. 

Artikel pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia sekitar 3-4 tahun lepas...

Comments

Anonymous said…
anak zahid komidi tak perlu susah2 nak perang dengan kominis utk dapat title datuk, cukup dengan tugas ketuai perbarisan tamat latihan askar wataniah ja.
Anonymous said…
https://youtu.be/hXLZtf4C7Sk
Dalam History Channel ada clip SM Apot..
Salute to the squad!
Anonymous said…
Tolong angkat kes ini supaya pihak berwajib buka mata dan tentukan pembelaan setimpal diterima olah pahlawan ini sekali pun sudah sampai dihujung hayatnya

bekas VAT 69 mesti bangun dan pastikan riada diantara kita ada yang melarat !!!!
Anonymous said…
jangan kata ketua perbarisan jer dapat datuk ... yg pegang pistol air pun boleh dapat datuk seri ... kaki minum dapat datuk .. tibai duit rakyat dapat tun
... yg cacat sebab berjuang untuk mesia ni dapat ..... pencen ilat socso
Anonymous said…
PDRM/ATM - aku harap bagi PEMBELAAN yg. SEWAJARnya kpd. PAHLAWAN ORANG ASLI gemilang kita ni, En. Apt anak Saad ni! JANGAN pula hidup PAHLAWAN BERJASA spt. ini serta keluarganya, hidup dlm. KEMISKINAN dan terpaksa MENOREH getah walau umur dah TUA; patutnya dah BEREHAT!

RISDA juga kena BANTU - berikan TANAH dan bina RUMAH amat SELESA utk. pahlawan kita ini serta keluarganya!

Nek Tempoyak.
Unknown said…
Alahai kasihannya.... Sepatutnya diujung usia seperti ini dapat pembelaan dari kerajaan.kutipan tol satu hari dah boleh memberikan kesenangan pada nya.apalah sangatttt
suhaimi sabil said…
Inilah pejuang sebenornye..ketua kawad cam
Anonymous said…
siapa cepat dia dapat.. pihak mana yg cepat ambil kesempatan/leverage ttg perihal wira negara ini, pihak itulah yg akan untung terutamanya dari segi political mileage nya.. sudah pasti masyarakat akan sanjung pihak mana yg mengambil berat isu ni terlebih dahulu. so cepat2 la bwk berjumpa selesaikan perihal wira negara ini kalau nak memenangi hati rakyat. hehe
Mylea said…
Sarjan mejar Apot dapat PGB daripada YDP Agong tahun lepas.
Anonymous said…
Nk PRU dah..depa akan mula kenal semula Apot..

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID