Majlis Raja-Raja Arah Perhalusi Peruntukan Dalam Rang Undang-Undang MKN...





Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diperhalusi.

Majlis Raja-Raja menzahirkan pandangan itu selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-240 di Istana Negara di sini, hari ini.

“Bagi maksud tersebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang ke-240 akan mewasalkan warkah kepada YAB Perdana Menteri,” kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan di sini.

Rang Undang-Undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Dis lalu dan kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Dis.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini dihadiri kesemua Raja-raja kecuali Sultan Pahang yang diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selaku Pemangku Raja Pahang.

Perkara-perkara mengenai agama Islam, pelantikan Pengerusi, Naib Pengerusi dan Ahli Dilantik Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, pelantikan Ahli Dilantik Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam, pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan turut dibincangkan dalam mesyuarat itu. BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID