Breaking News
Loading...
April 8, 2016

Info Post
Tan Sri Khalid Ibrahim curiga dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa cuba mencari alasan munasabah untuk membayar pampasan lebih tinggi kepada SPLASH.

Kerajaan Selangor ketika di bawah pentadbiran Khalid, hanya bersetuju untuk membayar pampasan sekitar RM250 juta menyebabkan SPLASH menolak tawaran pengambilalihan sekaligus mengganggu proses penyusunan semula industri air di negeri itu.

SPLASH, antara pemegang konsesi air di Selangor menegaskan nilai syarikat itu berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.

Kerajaan Selangor pimpinan Azmin pula dikatakan menaikkan tawaran kepada RM2 bilion kepada SPLASH tetapi rundingan itu belum muktamad.

Ketika ini, kerajaan Selangor hanya selesai mengambil alih tiga syarikat konsesi air iaitu SYABAS, Puncak Niaga dan ABBAS.

Dalam masa sama, Khalid kesal dan kecewa dengan Azmin yang disifatkannya tidak matang dan sering mengeluarkan kenyataan berunsur dendam.

Ia susulan kenyataan Azmin yang mendakwa Khalid telah membayar lebih 12 peratus ekuiti pulangkan aset bukan air kepada Puncak Niaga dan mengambil tanah dikhaskan untuk Loji Langat 2 dan menjualnya kepada syarikat swasta, Bolton.

Dalam perbahasan Jawatankuasa Air di Dewan Negeri Selangor semalam, Khalid mendakwa Azmin tidak memberinya peluang untuk menjawab semua tuduhan itu.

“Saya terkejut dan terkilan dengan sikap Azmin yang bukan sahaja tidak matang malah berunsur dendam. Beliau enggan membenarkan saya mengambil peluang dalam Dewan Negeri Selangor untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenar.

“Dalam kenyataannya, antara lain Azmin mendakwa saya telah menawarkan aset lebihan bernilai RM460 juta secara rahsia kepada Puncak Niaga Sdn Bhd hingga menyebabkan nilai pengambilalihan ekuiti melonjak daripada sekitar RM1.5 billion kepada RM2.01 billion.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak pernah sama sekali membuat sebarang tawaran rahsia. 

Tatacara pengambilalihan SYABAS dan Puncak Niaga hanya melibatkan aset air SYABAS manakala aset lain dipulangkan kepada Puncak Niaga,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Khalid berkata, rakyat sudah muak dengan sikap sebenar Azmin yang seringkali membuat kenyataan mengelirukan rakyat terutamanya ketika berucap di Dewan Negeri Selangor.

“Bukan sahaja beliau gagal memberi jawapan munasabah bagi semua isu air dan tanah yang telah saya utarakan, beliau cuba berselindung di sebalik tuduhan palsu dan fitnah jahat di dalam dewan,” katanya.

Katanya, penstrukturan air perlu diselesaikan segera dengan nilai tidak lebih RM9.65 bilion untuk mengelak pengguna air di Lembah Klang menanggung beban. SUMBER

0 comments: