Hanya Calon Tempatan Boleh Menang Di Sungai Besar - Khir Toyo...


Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon tempatan sebagai faktor kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, pengundi akan menolak mana-mana calon luar yang dirasakan tidak memahami lanskap kehidupan seharian mereka.

"Parlimen Sungai Besar memerlukan seorang wakil rakyat yang dibesarkan di sini dan benar-benar kenal budaya serta penduduk sekitar Sungai Besar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)memutuskan PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.

Dalam pada itu kata Dr Mohamad Khir, calon BN kelak perlu menyesuaikan cara berkempen lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

"Kita sedia maklum ada solat Tarawih dan bulan Ramadan penuh dengan aktiviti keagamaan.

"Jadi cara berkempen juga sedikit berlainan, kembali semula kepada pendapat asal saya tadi, pasti sukar untuk bergaul dengan masyarakat pada bulan Ramadan jika calon itu bukan penduduk tempatan," jelasnya.

Dr Khir turut melahirkan keyakinan BN akan mengekalkan kemenangan di Sungai Besar dengan alasan UMNO semakin kuat dan berpengaruh di Selangor lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dr Mohamad Khir sebelum ini mendapat remitan empat bulan oleh Jabatan Penjara Malaysia dan perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sehingga 29 Mei 2016.
Mohamad Khir diparolkan untuk menjalani baki hukuman penjara selama dua bulan di luar penjara sehingga tarikh pembebasan hukuman

Mohamad Khir diberi parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan di Penjara Kajang.

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID