Breaking News
Loading...
August 3, 2016

Info Post

Siri 1 : Penanggal Di Tanah Melayu

PENGENALAN MENGENAI PENANGGAL
Penanggalan merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memelihara harta dan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu penanggalan dipercayai diberi makan darah daripada ibu yang mengandung atau baru melahirkan anak oleh tuannya.

Hantu penanggalan dikatakan membolehkan tuannya mampu menjelma sebagai sejenis makhluk berkepala dengan urat perut yang bercahaya dan terbang mencari mangsa. Penanggalan akan terbang kerumah yang dikenal pasti mempunyai wanita yang baru bersalin dan kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

Cara menghalang gangguan Penanggalan dikatakan dengan cara meletakkan daun berduri, seperti daun mengkuang, di bawah rumah ibu yang baru bersalin. Ini dikatakan kerana hantu Penanggalan takut menghampiri rumah yang berduri kerana bimbangkan tali perut mereka tersangkut pada duri tersebut.

Mereka yang memelihara Penanggalan dikatakan mampu menanggalkan kepala dan urat perut mereka dan terbang mencari wanita bersalin bagi memberi makan kepada Penanggalan. Selepas mereka makan, dikatakan pengamal Penanggalan akan merendam urat perut mereka kedalam tempayan yang berisi cuka bagi mengecutkan perut sebelum masuk kembali kedalam badan asal mereka.

Salah satu cara yang dikatakan paling berkesan bagi mengenal pasti pemilik Penanggalan adalah dengan memusingkan jasad tanpa kepala yang ditinggalkan ketika mereka keluar mencari mangsa. Ini kerana apabila mereka kembali, kepala tersebut akan bercantum songsang dengan jasad mereka menyebabkan kepala mereka bercantum kearah kebelakang. Kepala menghadap kebelakang tubuh.

MATLAMAT PENANGGAL
Penanggalan dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan memelihara harta benda dan, membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.

STATUS PENANGGAL
Penanggalan adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah wanita yang baru bersalin. Selain itu hantu Penanggalan tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu Penanggalan akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

KELEMAHAN PENANGGAL
Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam ugama Islam. Pembela Penanggalan dikatakan sukar mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik.

PENELITIAN SECARA KAJIAN ILMIAH
Penanggalan mungkin merupakan cara penduduk zaman dahulu menjelaskan kadar kematian ibu bersalin yang tinggi dikampung-kampung. Secara tidak langsung, ini menunjukkan bahawa, kadar kematian ketika bersalin amat tinggi pada suatu masa dahulu.

BEBERAPA KISAH VERSI PENANGGAL DI TANAH MELAYU
Mengikut versi Tanah Melayu (Malaysia), Penanggal samada perempuan cantik (tua atau muda) yang awet muda melalui jalan ilmu hitam, sihir, mistik, atau bersekutu dengan jin yang mana selalunya berbentuk syirik dan khurafat.

Selain itu, menjadi Penanggal dalam kisah mistik juga boleh disebabkan sumpahan yang kuat atau perlakuan kuasa-kuasa jin dan syaitan, namun cara ini tidak meluas berbanding dengan cara bersekutu dengan jin serta amalan ilmu hitam yang berterusan.

Salah satu versi cerita kisah Penanggal ialah seorang gadis cantik atau rahib perempuan, yang melakukan mandi beradat di kolah berisi cuka. Sedang mandi dan dalam keadaan pertapaan meditasi, seorang lelaki tiba-tiba memasuki ke bilik itu dan mengejutkan gadis tersebut lalu terkejut sehinggakan gadis itu mendongak tiba-tiba secara mengejut lalu telah memutuskan kepalanya daripada tubuh beserta dengan isi perutnya sekali.

Akibat Terlalu marah, ia mengejar lelaki itu, sebagai penanggal. Maka Penanggal, dikatakan membawa bau cuka kemana sahaja ia terbang, dan kembali ke tubuhnya pada siang hari, biasanya sebagai perempuan normal. Tetapi, untuk membezakan penuntut ilmu penanggal dengan perempuan biasa, mereka biasanya berbau cuka pada tubuh badan.

Mangsa Penanggal biasanya ialah perempuan hamil dan anak-anak kecil. Penanggal akan bertenggek di bumbung atau atap rumah perempuan yang sedang melahirkan anak, mengilai atau mendesir bila bayi dilahirkan.

Penanggal akan menjelirkan lidahnya yang ghaib untuk menghisap darah ibu muda malang itu. Bagi darahnya yang dihisap Penanggal, kematian bakal menanti ibu muda itu. Apatah lagi, kalau Penanggal tidak sempat makan darah, sesiapa yang terkena sentuhan isi perut penanggalan akan menderita luka-luka kudis yang tidak akan sembuh melainkan dengan bantuan bomoh atau pawang.

Penanggal dikatakan makan darah atau daging manusia tetapi kebanyakan versi menyatakan Penanggal lebih sukakan darah bayi baru lahir, darah ibu muda baru melahirkan anak serta uri bayi (placenta) dimana Penanggal gemar makan uri setelah uri itu ditanam.

Penanggal akan melayang mencari sumber makanan dan turun ke tanah untuk makan. Ada satu versi menyatakan ia boleh menembusi dinding. Lebih mengerikan, Penanggal boleh keluar daripada rekahan lantai, naik ke dalam bilik dimana wanita baru beranak ketika bayi sedang tidur. Kadangkala ia akan merayap dengan menggunakan isi perutnya seperti sesungut sotong bergerak.

PEMAKANAN PENANGGAL JUGA BERBEZA MENGIKUT VERSI LAGENDA ATAU MITOS
Ada penanggal dikatakan menggemari uri bayi. Ada penanggal suka makan darah ibu mengandung. Ada penanggal suka makan darah bayi baru lahir. Ada penanggal suka hisap darah saudara mara,anak isteri atau adik beradik (ini versi saka).
Ada penanggal suka menghisap darah sesiapa saja. Ada penanggal sukakan makan darah haiwan. Ada juga yang suka makan tanpa mengambil kira apa sahaja pun ada.
Apa yang pasti, versi mengatakan penanggal gemarkan uri bayi adalah disebabkan kononnya ada mak bidan yang gemar menyimpan uri bayi dari ibu yang baru melahirkan kerana ia bakal jadi sumber makanan yang mudah. Selain itu, orang-orang tua dahulu selalu mengingatkan perempuan mengandung agar menyimpan benda-benda tajam bersama mereka sepanjang tempoh kandungan bagi mengelakkan ancaman penanggal.

CARA MENGHINDAR PENANGGAL
Antara cara yang sering digunakan untuk menghindar Penanggal ialah dengan menabur atau menanam Mengkuang berduri yang akan memerangkap atau mencederakan paru-paru, isi perut dan usus Penanggal yang terdedah semasa ia melayang mencari mangsa.

Duri mengkuang juga boleh dililit atau mengkuang digantung sekeliling luar tingkap rumah bagi menjerat Penanggal. Taktik ini biasa dilakukan bila ada seorg wantia hendak beranak atau baru beranak. Tetapi taktik ini tidak dapat menyelamatkan si bayi kalau si Penanggal muncul dibalik rekahan lantai rumah. Ada sesetengah keluarga menanam nanas di bawah rumah beberapa bulan sebelum wanita itu melahirkan anak (rumah kampung orang Melayu zaman dulu bertiang), jadi buah nanas dan daunnya yang berduri akan menghalang penyusupan penanggal daripada bawah rumah.

Kalau terperangkap, Penanggal akan dibunuh dengan parang serta golok. Sebagai tambahan keselamatan, perempuan mengandung sering menyimpan gunting dan kacip pinang di bawah bantal kerana Penanggal amat takut dengan benda-benda tajam.

Satu cara lagi membunuh Penangggal adalah dengan mengumpulkan kaum lelaki yang berani menyiasat Penanggal ini ketika ia melayang pada waktu malam. Mak Bidan yang disyaki sebenarnya Penanggal adalah perempuan biasa di pagi hari, tapi mereka boleh dikenali dengan tanda-tanda sebagai Penanggal dengan cara memerhatikan tabiat mereka.

Bila berjumpa orang, mereka akan menjauhkan pandangan mata dan bila menjalankan tugas pembidanan, mereka akan membasahkan bibir dengan lidah, seolah-olah memikirkan tentang cara menghisap darah si ibu pada waktu malam nanti. Kumpulan kaum lelaki ini akan menyiasat tempat tinggal si Penanggal dan setelah Penanggal meninggalkan tubuhnya di rumah dan terbang melayang pada waktu malam, tubuhnya akan dimusnahkan serta merta oleh kumpulan lelaki tadi atau dicurahkan kaca-kaca yang dipecahkan, duri atau onak serta bahan tajam lain di ruang leher tubuh Penanggal yang ditinggalkan.

Sekiranya Penanggal memasuki tubuhnya kembali, ia akan mati terseksa akibat kecederaan organ2nya, atau si Penanggal akan mati bila tidak dapat masuk ke tubuhnya yang telah dimusnahkan (biasanya dibakar) sehingga waktu matahari terbit. Cara lain ialah dengan menghalang si Penanggal secara beramai-ramai daripada ia memasuki tubuhnya hingga waktu matahari terbit. Cara lain adalah dengan menerbalikkan tubuh si Penanggal, jadi apabila ia masuk ke tubuhnya, kepalanya akan terbalik.

Bersambung.....

Sumber :-
1. Hikayat Abdullah (1845 Munsyi Abdullah)
2. Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia (Danny Lim)
3. Masyarakat dan budaya Melayu (Ismail Hamid)
4. Sastera dalam Budaya dan Media (Penerbit USM)
5. The Malays - A Cultural History (Sir Richard Olaf Winstedt)
6. Malay Magic : An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular (Walter William Skeat)
7. Research on the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore (Faridah Abdul Rashid)
8. Malaisie (Henri Fauconnier)
9. Vampire : A Field Guide To The Creatures That Stalk The Night - The Penanggal, Malaysia (Bob Curran)
10. The Fiction of Singapore (Yoon Wah Wong)
11. Lonely Planet Malaysia Singapore & Brunei (Simon Richmond, Cristian Bonetto, Celeste Brash, Joshua Samuel Brown, Austin Bush, Adam Karlin, Shawn Low, Daniel Robinson)
12. In Malay Forests (Sir William George Maxwell)
13. Nyepi : kebangkitan, toleransi, dan kerukunan (Nyoman S Pendit)
14. Kajian Sahabat Forumer cari.com.my (Robotech / HangPC2)
15. Sumber Terkini (Lisan)

0 comments: