41 tahun tragedi ‘Double Six’, kebenaran masih menjadi rahsia


ISKANDAR Salleh berusia hanya lima tahun apabila diberitahu bapanya, bekas menteri kewangan Sabah Salleh Sulong, meninggal dunia dalam satu kemalangan kapal terbang.

Namun, beliau sama sekali tidak menyangka ketika itu, trauma kehilangan yang tersayang akan membawa kepada pengalaman emosi dan psikologi pahit selama 41 tahun bagi pencarian kebenaran di sebalik kejadian tragis yang meragut 11 nyawa itu.

Tidak lama selepas kemalangan 6 Jun 1976 itu, hasil siasatan pihak berkuasa Malaysia dan Australia dengan cepat mengklasifikasikannya sebagai rahsia negara dan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Sejak itu, Iskandar dan ramai yang lain cuba membuka rahsia ini.

Usaha terbaru mereka sekali lagi disekat awal minggu ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayan-DAP, Dr Edwin Bose mencuba mendapatkan penjelasan daripada Ketua Menteri Musa Aman terhadap "misteri tragedi itu".

Jawapan pendek Musa adalah kes itu masih diklasifikasikan sebagai rahsia dan "Jabatan Penerbangan Awam Sabah tidak mempunyai maklumat baru mengenai kemalangan itu".

"Nampaknya, ia satu lagi halangan," kata Iskandar kepada The Malaysian Insight sebagai respons kenyataan Musa.

Kemalangan maut

Salleh, bersama bekas ketua menteri Fuad Stephens, menteri kerajaan tempatan dan perumahan Peter Mojuntin, menteri kerjaraya dan komunikasi Chong Thien Vun serta beberapa pegawai tinggi kerajaan terbang dari Labuan kembali ke Kota Kinabalu apabila pesawat mereka menjunam dan terhempas di Teluk Sembulan.

Pesawat GAF Nomad dengan enjin turboprop berkembar adalah buatan Australian Government Aircraft Factories (GAF) di Melbourne.

Semua 11 penumpang, termasuk anak sulung Stephen Johari, turut terkorban, ia digelar "Tragedi Double Six" merujuk kepada tarikh kemalangan.

Di saat keluarga mangsa bergelut dengan kehilangan secara tiba-tiba orang tersayang, penyiasatan dan penemuan kemalangan itu dengan cepat diklasifikasikan sebagai rahsia negara.

Hasil siasatan, termasuk laporan pasukan penyiasat Australia, terkunci bersama harapan keluarga mangsa bagi mengetahui punca kemalangan itu berlaku.

"Saya hanya inginkan kebenaran," kata Iskandar, kini berusia 46 tahun kepada The Malaysian Insight baru-baru ini melalui temubual telefon.

"Saya anak tunggal, dan kehilangan ayah pada usia yang muda. Tolong beri saya penutupan ... tolonglah. Itu sahaja yang saya minta. Saya hanya mahu tahu kebenaran."

Enggan menerima kerahsiaan ketat tentang apa yang berlaku di sebalik kematian bapanya, Iskandar menggembara ke Australia pada 2014, dengan harapan mengorek arkib Australia bagi mendapatkan jawapan.

Bagaimanapun, beliau diberitahu tidak boleh mengakses 44-halaman penemuan Australia kerana "Undang-undang komanwel yang mengawal kerahsiaan" antara negara anggota.

Beliau diberitahu hanya boleh mengaksesnya selepas Malaysia mendedahkan laporan penemuannya.

Tabir rahsia

Tindakan kerajaan menyembunyikan keputusan penyiasatan nahas kapal terbang menyebabkan banyak teori konspirasi, laporan akhbar Australia yang berkata kemalangan "mempunyai unsur jenayah".

Salah satu teori adalah Stephens dibunuh kerana enggan menyerahkan hasil minyak dan gas Sabah kepada kerajaan persekutuan.

Dilaporkan Stephens dan rombongannya berada di Labuan bagi "satu mesyuarat peringkat tinggi" untuk membincangkan isu royalti minyak dengan Tengku Razaleigh Hamzah, ketika itu menteri kewangan persekutuan dan pengerusi Petronas.

Mesyuarat itu diadakan kerana pendahulu Stephen, Mustapha Harun enggan menandatangani penyerahan minyak Sabah bagi royalti 5% yang ditawarkan kerajaan persekutuan.

Selepas siasatan pasukan Malaysia selesai, satu kenyataan dikeluarkan bekas timbalan menteri komunikasi Mohd Ali M Sharif mengumumkan kemalangan itu disebabkan "kesilapan manusia".

"Hasil pasukan penyiasat tidak mendedahkan sebarang kesilapan teknikal atau sabotaj sebagai punca kemalangan udara.

"Apa yang mereka temui adalah disebabkan kesilapan manusia. Ia juga mendedahkan ruang simpanan di belakang pesawat sarat dengan barang melebihi beban maksimum.

"Oleh demikian, ia menyebabkan pesawat hilang kawalan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, sehingga mengakibatkan kemalangan."

Kerajaan Australia melakukan yang sama dengan penemuannya, mengklasifikasikannya sebagai "sulit" dalam arkib kerajaan.

Namun, sebagaimana keras usaha kerajaan memastikan kemalangan 1976 itu dilupakan, sekumpulan kecil keluarga dan rakan mangsa nahas menandakan tragedi itu dengan perhimpunan tahunan.

Sebuah monumen, yang dikenali sebagai "Double Six", dibina berhampiran lokasi kemalangan di luar Kota Kinabalu.

Dan di sebalik semua halangan, Iskandar berkata beliau tidak akan berputus asa.

"Saya masih berpaut pada harapan.

"Saya ingin tahu. keluarga saya mahu tahu. Mereka (kaum kerabat yang masih hidup) semua mahu tahu. Kita perlu penutupan itu." SUMBER

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID