Surat Terbuka Kepada Pak Lah
PERMINTAAN TERBUKA KEPADA YAB DATO’ SERI ABDULLAH BADAWI
Tarikh : 16 Februari 2009 - Isnin
Daripada : Muhammad Zahid Bin Md Arip
No K/P : 660622-04-5355
No Ahli UMNO : 03468736
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah SWT Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa. Selawat Dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Keluarga Dan Para Sahabatnya.
YAB Dato’ Seri,
Di dahului dengan doa dan harapan mudah-mudahan Dato’ Seri beroleh sihat sejahtera.
Izinkan saya memulakan bicara dengan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kepada Dato’ Seri. Buat pengetahuan Dato’ Seri, peristiwa yang bersejarah dan penting ini, sememangnya di tunggu-tunggu dan di harap-harapkan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Walaupun (InsyaAllah) ianya hanya akan berlaku pada akhir bulan Mac 2009 - kira-kira 1½ bulan dari sekarang, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk menjadi warganegara Malaysia yang pertama merakamkan secara terbuka ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan kepada Dato’ Seri. Bagaimanapun, dalam kita menghitung hari menunggu tibanya saat tersebut, terdapat beberapa spekulasi yang tidak enak di dengar sekali gus ianya boleh menambah rosak imej Dato’ Seri yang sedia tercalar selama ini. Bagi saya, saya tidak mahu imej rosak dan tercalar ini mengiringi pengunduran Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
Sebaliknya, saya mahu Dato’ Seri berundur sebagai anak jantan yang punya maruah dan harga diri. Dato’ Seri seharusnya memperlihatkan keikhlasan yang tinggi, supaya sejarah dan anak cucu di kemudian hari akan menganggap Dato’ Seri lah pemimpin yang boleh di jadikan contoh – yang meletakkan kepentingan UMNO dan Negara melebihi segala-galanya dan bukannya pemimpin yang bacul yang terlalu sayangkan jawatan – sehingga sanggup memporak-perandakan UMNO dan Negara yang tercinta. Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin mendedahkan beberapa spekulasi yang tersebar secara meluas yang sampai ke telinga saya. Saya harap pendedahan ini akan dapat di jawab dan di jelaskan oleh Dato’ Seri secara terbuka dengan ikhlas, supaya para penyebar spekulasi ini akan dapat di diamkan dan seluruh ahli UMNO mendapat kepastian yang sejelas-jelasnya.
SPEKULASI 1, menyatakan;
Dato’ Seri dan budak-budak “tingkat 4” sedang menggunakan para penulis blog pro pembangkang dan beberapa pemimpin pembangkang untuk memenafaatkan waktu 1½ bulan terakhir ini untuk terus menyerang, menghina dan mengaibkan Dato’ Sri Najib dan keluarganya. Konon katanya, ada kempen yang di lancarkan oleh mereka yang di restui sendiri oleh ahli keluarga Dato’ Seri – kempen tersebut diberi nama “NO TO NAJIB, YES TO PAK LAH”. Betul kah?
SPEKULASI 2, menyatakan;
Atas nasihat anggota keluarga dan penasihat-penasihat veteran dari kalangan sahabat, Dato’ Seri di katakan tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Agung UMNO. Walaupun tidak lagi menjawat jawatan Presiden UMNO, Dato’ Seri konon katanya tetap tidak mahu berhenti dan akan terus menjadi Perdana Menteri. Konon katanya, Dato’ Seri terlalu sayangkan jawatan tersebut.
Dato’ Seri juga konon katanya sudah merancang untuk memasang seorang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO untuk membawa usul tergempar supaya Dato’ Seri kekal sebagai Perdana Menteri. Kononnya keinginan Dato’ Seri sudah sampai ke tahap tidak menghormati tradisi pemilihan Perdana Menteri yang di amalkan oleh parti selama ini di mana sesiapa jua yang menjadi Presiden UMNO, maka dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.
Spekulasi ini terus bertiup kencang apabila Utusan Malaysia (Khamis – 12 Feb 2009 – m/s 3) menyiarkan berita bergambar mengenai kempen secara besar-besaran promosi laman web Perdana Menteri yang mengajak rakyat berhubung secara terus dengan Dato’ Seri dengan menghantar cadangan, pandangan, teguran dan kritikan.
Ada logiknya juga, apa perlunya promosi laman web ini di buat secara hebat dan besar-besaran jika usia pemerintahan Dato’ Seri hanya tinggal kira-kira 1½ bulan? Mungkin juga Dato’ Seri mempunyai lampu ajaib yang boleh menyelesaikan semua keluhan yang di hantar ke laman tersebut dalam masa 1½ bulan sahaja. Atau mungkin laman itu akan di gunakan oleh “gulungan tertentu” semahu-mahunya bagi merintih, merengek, merayu, memujuk dan mendesak Dato’ Seri supaya terus kekal menjadi Perdana Menteri walaupun tidak menjadi Presiden UMNO. Maklum sajalah – Dato’ Seri adalah Perdana Menteri “yang terhebat” dan “yang tersohor” yang pernah di lahirkan oleh UMNO.
Spekulasi ini juga menyebut, bahawa kononnya jadual Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri telah di susun padat oleh pejabat Dato’ Seri sehingga 31 Disember 2009. Dan, ini menggambar dan menandakan Dato’ Seri tidak mahu berhenti. Konon katanya lagi, satu gerakan yang begitu tersusun dan terancang sedang di laksanakan oleh budak-budak Dato’ Seri untuk membina keyakinan rakyat bahawa jika Dato’ Sri Najib menjadi Perdana Menteri, nescaya keadaan akan lebih teruk dan negara akan kucar kacir. Gerakan ini juga kononnya sedang membiayai beberapa NGO untuk mengutip tandatangan seberapa ramai orang untuk mendesak Dato’ Seri supaya jangan berundur sebagai Perdana Menteri.. Soalan saya – betul kah?
SPEKULASI 3, menyatakan;
Dato’ Seri akan merombak kabinet dalam waktu terdekat ini. Konon katanya rombakan ini akan melibatkan Dato’ Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin lain termasuk membawa masuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam kabinet. Kononnya rombakan ini adalah bertujuan untuk merendahtarafkan Dato’ Sri Najib sebelum beliau di buang dari kabinet. Lebih dahsyat lagi, spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri dan penasihat-penasihat Dato’ Seri sedang merekacipta cerita dan pertuduhan untuk mendakwa Dato’ Sri Najib di mahkamah. Betul kah?
SPEKULASI 4, menyatakan;
Dato’ Seri akan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan pemimpin-pemimpin UMNO bertaraf ikan bilis termasuk mereka yang di katakan rapat dengan Dato’ Seri dan anggota keluarga Dato’ Seri, sebelum menahan pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung yang benar-benar tidak sehaluan dengan Dato’ Seri. Manakala pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung, yang menjadi kesayangan Dato’ Seri walaupun di katakan membeli pencalonan secara terang-terangan akan terselamat dari sebarang bentuk tindakan. Betul kah?
SPEKULASI 5, menyatakan;
Dato’ Seri sedang berusaha keras dengan melakukan pebagai cara untuk memastikan menantu kesayangan Dato’ Seri memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Betul kah?
SPEKULASI 6, menyatakan;
Dato’ Seri dan konco-konco Dato’ Seri sedang berusaha dengan begitu gigih dan keras dalam memastikan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kalah untuk jawatan Timbalan Presiden. Konon katanya Dato’ Seri mahukan Dato’ Seri Ali Rustam memenangi jawatan tersebut. Betul kah?
SPEKULASI 7, menyatakan;
Dato’ Seri konon katanya akan menggunakan peluang semasa menyampaikan Ucapan Dasar untuk membelasah Tan Sri Muhyiddin bagi menarik simpati perwakilan memberikan undi dan kemenangan kepada Dato’ Seri Ali Rustam. Kononnya, inilah caranya untuk Dato’ Seri membalas dendam kesumat terhadap kelantangan dan keberanian Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sehingga proses peralihan kuasa terpaksa di laksanakan. Spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri begitu yakin Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden kerana kononnya - dari 2 ribu lebih perwakilan yang akan berada di Dewan Merdeka, terdapat kira-kira 580 orang penerima darjah kebesaran DMSM yang membawa gelaran “DATUK”, DSM dan JP dari Melaka yang memangnya terhutang budi dengan Dato’ Seri Ali Rustam.
Andaian di buat, jika setiap seorang dari 580 orang ini berkempen dan dapat mencari seorang sahaja lagi perwakilan untuk mengundi Dato’ Seri Ali Rustam, tidak syak lagi dan sudah tentu Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekali lagi saya mohon bertanya kepada Dato’ Seri – Betul kah? Demikianlah spekulasi-spekulasi yang saya dengar mutakhir ini. Sebagai ahli parti yang bertanggung jawab, saya merayu dan memohon Dato’ Seri memberikan penjelasan dan menjawab spekulasi ini sejelas-jelasnya secepat mungkin atau dengan kadar segera. Tujuannya supaya UMNO yang kita dukung ini berada dalam keadaan jelas, aman dan proses peralihan kuasa berlaku dalam suasana ikhlas, aman dan damai.
Kegagalan Dato’ Seri untuk menjawab spekulasi-spekulasi yang saya dedahkan ini akan menyebabkan ianya terus hidup subur dan kesannya amat tidak molek bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada Dato’ Seri sendiri. NASIHAT saya kepada Dato’ Seri, ikhlaskanlah hati. Pergilah Dato’ Seri sebagai pemimpin yang punya maruah dan harga diri yang tinggi.
Saya sangat-sangat berharap kepada Dato’ Seri, alang-alang berucap menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, tinggalkanlah pesanan dan wasiat yang baik-baik buat UMNO dan jangan sekali-kali Dato’ Seri lupa untuk mengumumkan sekali perletakkan jawatan Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di akhir ucapan dasar itu nanti. InsyaAllah, Dato’ Seri akan dapat melihat dan akan dapat merasakan sendiri penghormatan dan tepukan bergemuruh sambil berdiri yang bakal diberikan oleh UMNO kepada Dato’ Seri. Sesungguhnya, kemuncak kerjaya bagi seseorang pemimpin UMNO ialah apabila dirinya mendapat penghormatan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Akhirkata, saya hadiahkan 3 rangkap pantun buat mengiringi pengunduran dan persaraan Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO yang ke 6 dan Perdana Menteri Malaysia yang ke 5.
Tinggi Bukit Gilang-gemilang Air pasang tenang-tenangan
Budi sedikit payah nak hilang Itu menjadi kenang-kenangan
Budi sedikit payah nak hilang Itu menjadi kenang-kenangan
Pulau Pandan jauh ke tengahGunung Daik bercabang tiga
Hancur Badan di kandung tanah Budi sedikit ku kenang juga
Terbang tinggi si rama-ramaHinggap mari di pohon redup
Budi Tuan walau sedikit kami terima Jadi kenangan seumur hidup
Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum WHB.
Yang benar,
MUHAMMAD ZAHID BIN MD ARIP
Comments
kasihan paklah, jadi mangsa keadaan..
Saya rasa cadangan itu baik juga akan tetapi bagilah dia pulihkan UMNO dulu, jika Pak Lah berundur dari UMNO dalam keadaan UMNO huruhara maka dia adalah seorang yang gagal sebagai seorang pemimpin kan Pak
Amat mendukacitakan YB Tun Abdullah tidak diberikan masa panjang untuk melaksanakan dasar2 dan aspirasi untuk melahirkan modal insan kerana infrastruktur fizikal orang nampak, namun pembangunan insan kami terlepas pandang. Renungkanlah. terima kasih Pak Lah.