UMNO Hulur Tali Silaturahim Kepada PAS
UMNO hari ini secara rasmi menghulur ‘tangan persahabatan’ kepada PAS bagi membina dan membangunkan Malaysia mengikut syariat Islam selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang, khususnya DAP.
Tali silaturahim itu dihulurkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Najib melahirkan kegembiraanya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas ‘disepak dan diterajang keluar’ oleh rakan-rakan pembangkangnya.
“Maka saudara dan saudari…kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, pabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.
“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya.
Mengenai kenyataan yang mahukan negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan ia tidak akan berlaku dan UMNO tidak akan menerimanya.
“Mana boleh… mana boleh perkara ini kita terima,” katanya.
Katanya, UMNO tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham pengertian demokrasi tetapi ‘seruan tidak bijaksana’ itu berbahaya.
Najib berkata, orang Melayu dan ahli UMNO perlu berjaga-jaga dan berwaspada dengan seruan terhadap dua sistem parti itu dan jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.
Realiti politik di Malaysia hari ini, katanya ialah rakyat mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada gabungan yang dipimpin oleh UMNO atau satu lagi yang didominasi oleh DAP.
“Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang antiperjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.
“Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah,” katanya.
Menjadikan DAP sebagai sasaran dalam ucapannya itu, Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak pernah setia dengan rakan-rakan gabungannya dan kini cuba “menguasai” parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
Beliau berkata, tindak-tanduk DAP itu turut dapat dilihat di Selangor apabila pemimpin-pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PAS sebelum ini.
Najib berkata, keangkuhan DAP juga terserlah di Sarawak, di mana parti itu memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR hanya kerana ingin bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri itu.
“Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi,” kata Najib.
Puak-puak DAP itu, kata Najib, tidak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka dan meminta rakyat supaya berfikir serta merenungkan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini. SUMBER.
Comments
Org org PAS, jgnlah mengambil sikap suka bermusuhan, bukankah itu sifatnya manusia yg dibenci Allah swt ?
Org org PAS, jgnlah bersangka buruk sesama Islam, bukankah sangka sangka itu dosa ? Bahkan bersangka baiklah dan tawakkallah kpd Allah swt.
klw tidak smpi kiamat lah asyik kena terajang je lah...