Bukan Orang Melayu Terhutang Budi Pada UMNO, Tetapi UMNO Yang Terhutang Budi Pada Orang Melayu...
"Sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada UMNO." -YB Datuk Ayub Rahmat
Ini baru ada kelas! Bukan ayat-ayat membodek yang membuat orang rasa jelek.
"Saya menegaskan bahawa sebenarnya bukan orang Melayu yang terhutang budi dengan UMNO. UMNO yang terhutang budi dengan orang Melayu.
UMNO itu wujud kerana orang Melayu. UMNO berjaya memimpin Malaysia kerana orang Melayu.
Dan jangan sesekali kita lupa, UMNO tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.
Jadi, sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada UMNO. Malah sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti mengenang-ngenang apa yang telah UMNO berikan kepada orang Melayu.
Tetapi, telah tiba masanya UMNO yang berterima kasih dengan sokongan orang melayu selama ini. UMNO tidak boleh berjaya tanpa orang Melayu. Tidak, dan tidak sama sekali.
Kerana itu UMNO Johor percaya, sudah sampai masanya, UMNO tampil memperbaharui tawaran dan pemberiannya kepada orang Melayu.
Menawarkan naratif baharu. Menawarkan agenda baharu. Menawarkan keterujaaan dan harapan baharu kepada orang Melayu.
Mengapa?
Kerana, orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Dampak gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.
Cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan.
Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21.
Dan bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dalam persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.
Inilah yang UMNO harus perjuangkan untuk orang Melayu. Dan UMNO mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke 21 ini dengan baik.
Kerana UMNO adalah kekuatan politik utama orang Melayu.
Jika UMNO sebagai parti politik terbesar dan terpenting orang Melayu gagal menjawab masalah sebenar orang Melayu, siapa lagi yang harus melakukannya?
Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk menggerakkan usaha mewujudkan kebolehsaingan ini. Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk melonjakkan agenda baharu yang selari dengan tuntutan semasa."
Comments