Institusi Raja Mampu Main Peranan Pengimbang Kuasa


Kedaulatan Institusi Raja di Malaysia perlu dipelihara kerana ia institusi yang boleh memainkan peranan pengimbang kuasa, kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata memandangkan keadaan politik di Malaysia sering memperlihatkan ketidakstabilan, besar kemungkinan rakyat sudah mengharap ada pihak lain yang boleh memainkan peranan besar sebagai pengimbang kuasa.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya "Kedaulatan Raja dan Peranannya Dalam Sebuah Negara Berbilang Kaum" di Wacana Kedaulatan Raja-Warisan Yang Mesti DiPertahankan dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

"Raja perlu proaktif bukan untuk campur tangan menyebelahi sesuatu pihak atau pihak lain tetapi untuk menjamin ketiga-tiga bahagian jentera pemerintahan itu bukan hanya cekap menjalankan tugasnya tetapi juga dapat menjamin agar di antara tiga bahagian di dalam pemerintahan itu - kehakiman, perundangan, dan eksekutif tiada satu akan campurtangan dalam hal bahagian lain".

Beliau berkata British pada lewat abad ke-19 berpendapat Raja adalah amat penting kepada masyarakat tempatan sehingga mereka berkata tanpa Raja "the people will be just a mob".

Dalam sistem politik Malaysia yang memang begitu kompleks, hanya Raja yang bebas daripada keperluan mengidentifikasikan diri sendiri dengan satu-satu bahagian masyarakat dan keadaan telah berubah di mana Raja bukan lagi dilihat pelindung orang-orang Melayu semata-mata, katanya.

Prof. Khoo berkata: "Di dalam masyarakat yang anggota-anggotanya yang seringkali bertentangan kerana satu-satu sebab hanya Raja yang dapat berdiri di atas segalanya untuk menjamin masyarakat secara umumnya tidak terkeluar dari tatatertib".

Beliau berkata: "Sebuah negara di mana Raja telah menjadi lambang keutuhan negara, di samping simbol keadilan ialah Raja di England tetapi itu bukan kedudukan yang dapat dicapai dalam masa yang singkat".

Seorang lagi penceramah, Datuk Salehuddin Saidin, seorang pengamal undang-undang, berkata institusi Raja ditubuhkan bertujuan sebagai satu organisasi "check and balance" untuk memeriksa sesuatu tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kalau sekiranya ia tidak menepati hasrat atau kehendak undang-undang.

Institusi Raja yang berteraskan keturunan wajar diteruskan di Malaysia biarpun ada pihak yang berpendapat kini telah ada ramai pemimpin yang dipilih melalui suara rakyat, katanya.

Beliau berkata suasana politik di Malaysia agak unik di mana terdapat tiga kaum utama Melayu, Cina dan India yang ingin menegakkan hak masing-masing yang terpelihara dari segi undang-undang.

Jika sistem Republik di mana Presidennya dipilih rakyat diamalkan di Malaysia mungkin timbul masalah jika ada pemimpin berteraskan perkauman yang menimbulkan perasaan tidak puas hati golongan lain, katanya.

Sekiranya timbul pertelingkahan Institusi Raja tidak akan jatuh kerana ia berteraskan keturunan dan mereka akan kekal berbanding dengan Presiden di bawah sistem republik.

Datuk Prof Dr Ramlah Adam dari Universiti Teknologi MARA pula berkata Raja mampu menjadi penstabil kuasa politik kerana mereka lazimnya neutral tidak seperti pemimpin-pemimpin politik yang sering mendukung perjuangan parti masing-masing. BERNAMA

apa komen pembaca mengenai artikel ini.

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID