Breaking News
Loading...
April 29, 2015

Info Post

Setakat ini, sebanyak 134 dari 191 PAS Kawasan seluruh negara telah direkod mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mereka. Daripada jumlah itu, 98 Kawasan telah mencalonkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden. Turut dicalonkan ialah Dato Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang masing-masing dengan lapan (8) dan lima (5) pencalonan.

Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, Dato Tuan Ibrahim mengungguli apabila mendapat 93 pencalonan mengatasi penyandang, Haji Mohamad Sabu dengan hanya 12 pencalonan sahaja.

Untuk jawatan Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad mencatat tertinggi dengan 78 pencalonan, diikuti Dato Mohd Amar (46), Salahuddin Ayub (45), Ust Nasrudin Hassan (42), Dato Mahfuz Omar (39) dan Dato Iskandar Samad (28).

Dato Husam Musa selaku penyandang jawatan mencoroti senarai dengan hanya 12 pencalonan. Manakala turut tersenarai ialah Dato Dr Mujahid (5) dan Mohamad Sabu (3).

Pencalonan bakal berakhir pada 30hb ini. Daripada maklumat di atas, beberapa analisa boleh dibuat, antaranya:

1. Muktamar kali ini menampakkan sedikit kelainan apabila kebanyakan kawasan mula bercakap tentang kepimpinan. Sebelum ini, PAS terkenal dengan ahlinya yang tidak mempedulikan jawatan. Namun ia bukanlah suatu yang negatif kerana perwakilan kawasan-kawasan bukan merebut jawatan untuk diri masing-masing, tetapi berusaha menyedarkan ahli supaya tidak semberono dalam menilai calon agar benar-benar dapat memperjuangkan matlamat penubuhan PAS. 


2. Walaupun isu paling panas diperkatakan dalam PAS hari ini adalah mengenai kegagalan Presiden PAS mentadbir parti, tetapi kepimpinannya masih diharapkan oleh akar umbi dengan 87.5% dari pencalonan presiden yang diumumkan. Ini menunjukkan ahli PAS masih bersama aspirasi Presiden dan beliau tidak keseorangan seperti yang digambarkan media.

3. Mohamad Sabu sepatutnya mendapat pencalonan yang tinggi kerana kelebihan sebagai penyandang. Malangnya pada kali ini hanya 10% akar umbi PAS yang memilihnya. Perkara ini berkemungkinan berlaku dari prestasi beliau yang dilihat tidak memainkan peranan sebagai pembantu Presiden, tetapi lebih menyebelahi rakan lain apabila berlaku pertembungan antara mana-mana pihak dengan Presiden.

4. Dato Nik Amar juga muka baru yang dipilih akar umbi untuk jawatan Naib. Nama beliau melonjak dari ketegasannya mempertahankan dasar dan manhaj PAS. Malah, perjuangan PAS terhadap agenda hudud terakam dari vokal beliau yang menonjol berbicara mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, selain bintangnya bersinar sebagai pelapis MB Kelantan. Ini juga menjadi indikator bahawa ahli bawahan PAS teguh bersama hasrat PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan kepada agenda hudud.

5. Calon Presiden, Dato Husam Musa pula menerima nasib serupa Haji Mohamad Sabu. Namanya bukan sahaja tidak menjadi pilihan ramai untuk jawatan Presiden, malah jawatan Naib Presiden yang disandang beliau juga 'ditolak' oleh akar umbi. Faktornya mungkin kerana sikapnya yang dilihat mendalangi penubuhan PasMa dan pendirian beliau yang berbeza dengan keputusan PAS Pusat terhadap PasMa. ‘Nasib’ diterimanya itu turut menjadi ‘mesej’ bahawa ahli PAS menolak PasMa sebagaimana Berjasa dan Hamim yang telah terkubur tanpa nisan suatu masa dahulu.

6. Rata-rata pimpinan yang dilihat berada dipihak Presiden seperti Dato Tuan Ibrahim, Ustaz Idris, YB Iskandar, Dato Mohd Amar, YB Ustaz Nasruddin Tantawi menjadi pilihan akar umbi kali ini. Sedangkan mereka yang dilihat membelakangi Presiden seperti Mat Sabu, Husam Musa, Dr Hatta, Khalid Samad, Dr Dzulkefly dan Hanifa Maidin tidak lagi menjadi pilihan ramai.

7. Pertembungan Ulama-Profesional yang sengaja direka, terbukti omongan palsu semata kerana Ustaz Ahmad Awang yang dikenali sebagai 'Ulama' juga tidak menjadi pilihan pendokong Kepimpinan Ulama. Sebaliknya YB Iskandar, antara ‘non-ulama’ pula menjadi pilihan ditonjolkan sebagai calon.

8. Pencalonan kali ini menunjukkan perubahan amat ketara apabila ramai penyandang-penyandang jawatan sedia ada tidak lagi popular sebagai calon kecuali YB Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Ini adalah petanda ahli bawahan tidak lagi mempercayai kebanyakan AJK PAS Pusat sekarang. Mereka mengharapkan PAS akan datang lebih baik dan mampu menyelesaikan konflik yang berlaku. Akar umbi juga percaya percaya riuh rendah dalam PAS bukan berpunca dari Presiden seperti yang digembar gemburkan pihak tidak bertanggungjawab.

9. Ustaz Ahmad Awang, antara nama baru yang naik akhir-akhir ini. Beliau membawa imej selamatkan PR, namun tidak mendapat tempat di hati akar umbi PAS. Walaupun beliau kerap turun padang sejak tahun lepas sama ada program anjuran PAS cawangan ataupun PasMa, ia tidak begitu membantu kempen beliau melainkan di tiga (3) Kawasan sahaja. Sebaliknya, beliau dilihat menjadi boneka kepada pihak tertentu semata-mata. Ternyata juga, sayangnya ahli PAS kepada PR tidak melampaui teguhnya mereka terhadap prinsip perjuangan PAS.

10. Kebanyakan pencalonan untuk Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang berlaku di awal tempoh MAT PAS Kawasan. Ia mungkin sebagai cara mempengaruhi Kawasan lain supaya berani mencalonkan Presiden selain TGHH. Sebaliknya, tindakan mereka mengumumkan pencalonan menyebabkan Kawasan lain juga mengumumkan pencalonan mereka secara terbuka bagi membuktikan mereka masih bersama TGHH. Berbeza dengan sikap sebelum ini di mana kebanyakan pencalonan diserahkan sahaja kepada AJK Kawasan yang dilantik.

11. Kebanyakan perwakilan MAT PAS Kawasan hanya mencalonkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib-naib sahaja. Kebanyakan pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pula diserahkan kepada AJK Kawasan yang baru dipilih pada MAT tersebut dengan meletakkan ‘syarat’ iaitu menyenaraikan nama yang tidak menentang ulama. Di sini menunjukkan bahawa perwakilan thiqah kepada AJK PAS Kawasan yang baru mereka pilih. Juga menunjukkan mereka menolak golongan yang dilihat menentang Kepimpinan Ulama. Keadaan ini menjadi petanda hubungan kuat akar umbi di PAS Cawangan dengan PAS Kawasan yang akan melonjakkan momentum kekuatan hingga ke atas.

12. Perubahan besar kepimpinan juga dilihat berlaku di beberapa kawasan. YB Ir Mohamad Nizar gagal pertahankan jawatan YDP Kampar, sementara PJ Melaka dan bekas PJ Selangor tewas di tempat masing-masing. Mereka ini antara yang dilihat tidak seiring dengan Presiden PAS.

13. Kebanyakan nama-nama baru yang agak kontroversi dalam PAS tidak disokong oleh ahli bawahan. Presiden PasMa, Ir Dato Phahrolrazi tidak lagi menjadi YDP Kuala Kedah. Kawasannya juga tidak membawa aspirasinya apabila tetap mencalonkan TGHH sebagai Presiden. Taiping yang menjadi tempat kelahiran Ustaz Ahmad Awang turut memilih TGHH sebagai Presiden.

14. PAS Kawasan Batu ditentang sayap-sayap ahli bawahan sendiri apabila berura-ura mencadangkan Husam Musa sebagai Presiden. Urusan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengeluarkan kenyataan bersama berdiri teguh di belakang Presiden.

15. Kawasan-kawasan yang memilih selain TGHH pula kebanyakannya adalah Kawasan yang dimaklumi tidak aktif. Bukit Gelugor di bawah YDP Dr Mujahid Rawa hanya mempunyai satu cawangan aktif. Batu Sapi di Sabah tidak mempunyai Cawangan. Tangga Batu, Melaka juga dimaklumi demikian. Rata-rata MAT PAS Kawasan tersebut dihadiri kurang dari 100 orang ahli atau lebih sedikit dari ahli PAS Cawangan-cawangan di Terengganu.

16. Kebanyakannya pencalonan datang dari Johor dan Negeri Sembilan mempunyai ahli sedikit dan kekuatan yang lemah hingga berlaku kes pembatalan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS). Negeri-negeri kuat seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor majoritinya bersama TGHH.

17. Walaupun masih berbaki kurang 60 Kawasan lagi, jurang perbezaan yang besar antara pencalonan tersebut tidak memberikan kesan besar untuk merubah ranking pencalonan sekarang melainkan diperingkat Naib Presiden.

18. Pencalonan ini adalah bayangan kabinet baru PAS 2015-2017. Sekiranya pemilihan kali ini berjalan dengan baik, keputusannya akan hampir sekata dengan pencalonan ini. Namun, timbul juga kekhuatiran pemilihan kali ini akan berlaku kepincangan melihatkan kepada rekod Pengerusi Jawatankua‎ sa Pemilihan yang teruk pada sesi lepas di mana wujud suara-suara tuntutan agar Asmuni Awi ditukar ganti oleh mereka yang lebih berkredibiliti.

0 comments: