Breaking News
Loading...
September 7, 2017

Info Post

SUATU masa dahulu, ia dikenali sebagai ikan hidangan orang miskin. Tetapi apabila ada cakap-cakap mahu meletakkannya sebagai barang kawalan, ikan kembung barangkali petunjuk ekonomi yang lebih realistik bagi rakyat Malaysia terbanyak dan bukannya angka-angka pertumbuhan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Harga ikan daripada keluarga tuna itu meningkat sejak kebelakangan ini berdasarkan pada kunjungan biasa ke pasar, sejak pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015. Satu lagi faktor lain kenaikan harga minyak. Sebelum GST, ikan kembung di pasar dijual pada sekitar RM8 sekilogram.

Sejak setahun lalu, harga ikan kembung, ikan yang menentukan paras harga ikan pelbagai jenis yang lain, turun naik antara RM16 hingga RM22 sekilogram di serata negara. Ini mengakibatkan pengguna terpaksa menyesuaikan pemakanan mereka selain membeli dengan kuantiti yang kurang.

“Kalau dulu beli sekilo, sekarang beli setengah kilo. Kami tinggal berdua, bolehlah tahan tiga hari,” kata pesara Zainal Abidin Ayob sambil bersarapan dengan isterinya, Siti Zahara Ismail selepas berbelanja di pasar Pekan Lama Petaling Jaya (PJ) awal minggu ini.

Dalam beg plastik mereka ternampak ikan kembung, sedikit sayur dan ulam. Ada juga bungkusan santan, cendol dan gula merah. Untuk semua ini saja, mereka sudah berbelanja RM60.

“Anak-anak nak balik cuti raya korban, cadang nak buat cendol makan-makan. Semangkuk sekarang sudah RM2. Murah lagi buat sendiri di rumah,” kata Siti Zahara.

Indeks harga pengguna (TCPI) pada Jun 2015 selepas GST diperkenalkan ialah 2.5%, sedikit naik berbanding tempoh yang sama setahun sebelumnya. CPI pada Julai tahun ini melonjak ke 3.2% berbanding tempoh yang sama pada 2016, dengan kumpulan makanan dan minuman tidak beralkohol mencatatkan peningkatan 4.2%.

Siti Zahara yang ada penyakit kurang darah berkata ada masanya dia membeli kerang tetapi itu pun sekarang terpaksa dikurangkan kerana yang naik bukan saja harga ikan tetapi makanan laut keseluruhannya.


“Doktor nasihat saya makan kerang atau hati (untuk ganti zat besi) kerana keadaan kurang darah ini.

“Sebelum GST, kerang RM4 sekilo. Sekarang lebih kurang RM10. Jadi saya beli setengah kilo. Boleh bayangkan tidak berapa banyak saja yang ada apabila dimasak,” katanya.

Ayam, sebagai pilihan sumber protein, bukan pilihan utama bagi pasangan itu tetapi Zainal mengaku ayam sekarang jadi pilihan yang menjimatkan kerana seekor ayam boleh dikerat-kerat dan dimasak macam-macam untuk beberapa hari.

Inilah yang dilakukan oleh Omar Shafiee dari Desa Mentari untuk anak beranak 10 orang: mereka sekeluarga lebih banyak makan ikan berbanding ayam.

“Saya beli dua ekor ayam setiap kali ke pasar sebab kami ramai. Kami boleh masak dua jenis. Kalau saya beli ikan untuk semua, mahu kena beli dalam dua kilo.

“Ikan kembung segar lebih kurang RM16. Yang beku murah lagi lebih kurang RM11 atau Rm12 tetapi tak berapa elok.

“Ada juga ikan sardin yang dijual selonggok RM5 tetapi tak elok,” katanya.

Kata Omar, dia juga sudah berhenti membeli daging kerana daging sudah jadi terlalu mahal untuk mereka sekeluarga. Sekilo daging harganya lebih kurang RM22.

“Kami tunggu hari raya korban nak makan daging,” katanya.

Awal bulan ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna berkata ia mungkin meletakkan ikan kembung dalam senarai harga kawalan, dengan syarat bekalannya konsisten dan stabil sepanjang tahun.

Daripada senarai 20 barangan terkawal itu, ayam adalah satu-satunya sumber protein. Ikan dan ayam lebih lazim dimakan di Malaysia berbanding daging dan kambing yang kebanyakannya diimport dan lebih mahal.

Penjual ikan Kenly Chin mengatakan harga ikan kembung naik kerana GST dan nilai ringgit yang lemah.

“Orang dulu biasa beli seekor ikan tenggiri tetapi sekarang mereka beli potong ketul-ketul atau separuh. Harga naik sikit demi sikit selepas GST.

“Ringgit yang lemah pun tak membantu sebab kita beli ikan dari Thailand dan Indonesia,” kata Chin.

Pengguna dipercayai membeli dengan kuantiti yang lebih sedikit dan berjimat kerana pada masa yang sama jualan ayam tidak menunjukkan peningkatan yang ketara selaras dengan kenaikan harga ikan.

Seorang penjual ayam di pasar Pekan Lama PJ, yang memberi namanya sebagai Siau, berkata permintaan terhadap ayam tidak begitu banyak walaupun ikan sudah jadi lebih mahal. Keluarganya sudah menjual ayam sejak 50 tahun lalu.

Tetapi pengguna memberitahunya mereka boleh masak macam-macam dengan ayam untuk berjimat duit.

“Sekilo ayam RM8, dan seekor ayam biasanya dalam 2kg. Kalau ada keluarga kecil, ayam itu boleh dibahagi-bahagi sekurang-kurangnya untuk dua kali makan. Semua barang mahal sekarang,” kata Siau.

GST sebanyak 6% tidak terpakai ke atas ikan dan daging segar atau beku kerana dianggap barangan makanan perlu dan dikenakan kadar sifar.

Biarpun begitu, peniaga seperti Chin dan Siau berkata kadar sifar tidak memberikan kesan mengekalkan harga rendah kerana GST terpakai pada kos pengangkutan, manakala harga minyak secara umumnya meningkat sejak setahun yang lalu.

“Semua ini perlu diambil kira. Itu sebabnya ikan sekarang harganya mahal apabila sampai ke sini,” kata Chin.

Pengguna lain, yang masih gemarkan ikan seperti pesara Clara Oosaynathan, akan membeli dengan kuantiti yang sedikit tetapi memilih ikan yang lebih baik kualitinya seperti senangin, kerapu dan jenahak, yang umumnya lebih murah berbanding bawal dan kod.

“Semua barang dah naik harga. Saya beli sedikit dan saya lebih berhati-hati dengan apa yang saya beli,” katanya. Dia menambah, setiap kali berbelanja dia pasti terlebih dahulu membuat perbandingan harga. – 2 September, 2017. Sumber: Malaysian Insight

0 comments: