Perang Kelang: Pertempuran Keturunan Opu Bersaudara Bahagian Akhir...


Bahagian Akhir...

Sultan Abdul Samad terpaksa mengakui Raja Mahadi sebagai pemerintah Klang yang baru dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedudukan baginda sebagai seorang sultan tersangatlah lemah kerana dikatakan baginda hanyalah seorang sultan yang ditabalkan mengikut adat semata-mata sahaja malah baginda tidak mempunyai askar dan kekuasaan yang kukuh. 

Oleh itu, baginda mengambil langkah untuk mendiamkan diri sekiranya baginda mahu kekal lama di atas takhta. Walau bagaimana pun, baginda telah mengenakan cukai sebanyak $500 setiap bulan ke atas Raja Mahadi sebagai cukai pentadbiran Klang.

Setelah berkuasa penuh di Klang, Raja Mahadi telah mabuk dengan kebudayaan, kejayaan dan kemenangan sehinggakan beliau tidak mahu bayar cukai tersebut dan ini membuatkan Sultan Abdul samad murka kepadanya. 

Oleh itu, Sultan Abdul Samad telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan puterinya dengan Raja Mahadi dan baginda telah menikahkan puterinya itu dengan Raja Muda Kedah yang bernama Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Tunku Kudin. 

Pernikahan ini berlangsung pada tahun 1867.

Sehubungan dengan itu, Sultan Abdul Samad tanpa memikir panjang telah melantik Tunku Kudin sebagai Yamtuan Negeri Selangor pada 26 januari 1868 bagi menyelesaikan masalah antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi yang bermusuhan itu kerana baginda sering didesak oleh kaum kerabat Raja Abdullah yang meminta agar Raja Mahadi diturunkan dari jawatannya. 

Perlantikan ini juga bertujuan untuk baginda membalas dendam kepada Raja Mahadi kerana tidak pernah membayar cukai kepada baginda. Jawatan Yamtuan ini membolehkan Tunku Kudin berkuasa penuh ke atas seluruh negeri Selangor. 

Perlantikan ini membuatkan seluruh kerabat Raja Selangor membantah secara besar-besaran tambah-tambah lagi ianya ditentang hebat oleh Raja Mahadi. Kesemua kaum kerabat Raja Selangor melihat Tunku Kudin sebagai orang luar dan tidak ada hak untuk mencampuri urusan mereka di Selangor.

Ekoran dari bantahan yang hebat ini, Tunku Kudin mengambil keputusan untuk berundur seketika pulang ke Kedah bagi mengumpul orang-orangnya sebagai kekuatan untuk dibawa masuk ke Selangor kelak kerana pada masa itu beliau belum ada pengaruhnya di Selangor. 

Sebelum ke Kedah, Tunku Kudin terlebih dahulu pergi ke Melaka untuk berjumpa dengan Baba Tek Yee iaitu seorang saudagar yang kaya bagi menguruskan alat-alat kelengkapan senjata bagi menegakkan kuasanya di Selangor kelak.

Pada tahun 1869, Raja Abdullah yang menetap di Melaka itu telah mangkat. Dalam kesibukan Raja Mahadi mentadbir Klang, dalam diam Raja Ismail telah mengumpulkan kekuatannya serta mengatur strategi di Riau untuk merampas kembali Klang dari tangan Raja Mahadi. Tapi sebelum itu, Raja Ismail telah pergi megadap Sultan Abdul Samad bagi menuntut Klang tetapi kita sedia maklum baginda sememangnya lemah dalam kekuasaannya itu telah membenarkan pula Raja Ismail berperang saja dengan Raja Mahadi.

Pada suatu subuh dalam bulan Ogos1869, angkatan Bugis yang diketuai Raja Ismail telah menyerang Klang dan dapat menawan beberapa kubu kecil milik orang-orang Raja Mahadi. Orang-orang Raja Mahadi tidak dapat lakukan apa-apa kerana serangan itu dibuat secara mengejut. 

Kota Raja Mahadi telah dikepung oleh angkatan Raja Ismail. Kebetulan pada masa itu, orang-orang Batu Bara telah memberontak kepada Raja Mahadi kerana dikatakan salah seorang juak Raja Mahadi telah membunuh seorang pengikut Datuk Dagang. Datuk Dagang telah menuntut keadilan dari Raja Mahadi namun Raja Mahadi mengendahkan tuntutan tersebut. 

Selain itu, Raja Mahadi telah berjanji akan menganugerahkan beberapa kawasan di Selangor kepada Datuk Dagang jika sekiranya beliau menang ke atas Raja Abdullah dahulu namun setelah mencapai kemenangan, Raja Mahadi tidak mengotakan janjinya. Dua faktor inilah yang membuatkan orang-orang Batu Bara menyebelahi pihak Raja Ismail. Perkara ini membuatkan kedudukan Raja Mahadi di Klang beransur lemah.

Serangan demi serangan dilakukan oleh pihak Raja Ismail dan pengepungan ke atas Raja Mahadi bersama orang-orangnya masih berjalan selama dua bulan sehinggalah kedatangan Tunku Kudin pada Oktober 1869 bersama askar-askarnya dari Kedah seramai 500 orang. Walau bagaimana pun Raja Mahadi bersama pengikut-pengikutnya tetap utuh bertahan di sebalik kotanya yang ampuh itu. Tunku Kudin telah bersatu dengan Raja Ismail untuk membinasakan Raja Mahadi tetapi sebelum itu Tunku Kudin menyarankan kepada Raja Mahadi agar berdamai saja dengan Raja Ismail yakni serah diri tetapi saranan ini ditolak mentah-mentah oleh Raja Mahadi.

Bermula dari saat itu, bermulalah peperangan secara besar-besaran oleh kedua belah pihak. Meriam-meriam saling membedil antara satu sama lain. Tunku Kudin menggunakan khidmat seorang bangsa eropah yang bernama De Fontaine sebagai jeneral perang pasukannya. Tunku Kudin juga bertindak membuat sekatan makanan-makanan yang dibawa masuk ke Klang dan ini membuatkan Raja Mahadi bertambah lemah kedudukannya.

Setelah terkepung selama enam bulan lamanya dan mengalami penderitaan kekurangan bekalan harian maka pada mac 1870, Raja Mahadi bersama orang-orangnya telah undur keluar dari kotanya secara senyap-senyap lari menuju ke Sungai Buloh kerana tiada daya lagi mereka untuk menentang Tunku Kudin. Susulan dari itu, Raja Ismail menyedari kedudukannya ketika itu tidaklah sehebat Tunku Kudin dan beliau pun membawa diri bersama pengikutnya pergi ke Pahang. Dengan ini, Klang secara rasminya jatuh ke tangan Tunku Kudin.

Kota Raja Mahadi yang dapat ditawan oleh Tunku Kudin itu telah dijadikan markas kubunya pula serta menjadikan kota itu sebagai kediaman dan pejabatnya. (Pada tahun 1899, meriam-meriam di kota tersebut telah dipindahkan ke Istana Mahkota Puri di Klang bagi menghiasi istana tersebut)

Pada julai 1870, Raja Mahadi bersama angkatannya telah menawan Kuala Selangor sekaligus menyingkirkan Raja Musa ibni Sultan Abdul Samad sebagai pembesar di Kuala Selangor. Tujuan Raja Mahadi membuat demikian adalah untuk mencari tapak yang baru untuk membina semula angkatannya bagi menewaskan Tunku Kudin. 

Dengan tertawannya Kuala Selangor ini oleh Raja Mahadi maka beliau telah menjadi pemerintah yang baru di Kuala Selangor.

Pada julai 1871, sebuah kapal perang inggeris yang bernama Rinaldo telah membedil kubu-kubu Raja Mahadi di sepanjang persisiran sungai di sekitar Kuala Selangor kerana kononnya ingin memburu lanun-lanun cina yang mendiami kawasan itu. Setelah Kuala Selangor dibedil teruk oleh inggeris, Raja Mahadi bersama pengikut-pengikutnya telah melarikan diri ke Bengkalis, Sumatera. 

Di situ, Raja Mahadi sekali lagi cuba mengatur strategi untuk menyerang Selangor dengan melatih orang-orangnya serta mendapat sokongan dari kerabat Siak, Datuk Kelana Sungai Ujong dan Maharaja Abu Bakar.

Namun hal ini telah dapat dihidu oleh Tunku Kudin dan beliau telah melaporkannya kepada inggeris. Inggeris pula mengambil tindakan untuk melaporkan pula kepada penguasa Belanda di Bengkalis dan mengarahkan supaya Raja Mahadi ditangkap. Raja Mahadi bersama pengikutnya telah melarikan diri ke Johor dan berselindung di sebalik Maharaja Abu Bakar. Inggeris mengarahkan Maharaja Abu Bakar agar menasihati Raja Mahadi supaya hentikan saja dari menentang Tunku Kudin dan terima saja duit pencen sebanyak $350 sebulan dari Tunku Kudin tetapi Raja Mahadi menolak cadangan itu.

Setelah segala persiapan dibuat, pada sekitar julai 1872 Raja Mahadi telah menyerang Kuala Lumpur dari arah tiga penjuru iaitu utara, timur dan selatan. Kuala Lumpur ketika itu dijaga oleh Yap Ah Loy yang bersekutu dengan Tunku Kudin. (Ketika Raja Mahadi dapat menakluk Klang, Yap Ah Loy telah bertuankan Raja Mahadi tetapi setelah Raja Mahadi tewas kepada Tunku Kudin, Yap Ah Loy bertindak berpaling tadah kepada Raja Mahadi dan bernaung di bawah Tunku Kudin bagi menegakkan pengaruh dan kuasanya). 

Kuala Lumpur secara rasminya dapat ditawan oleh Raja Mahadi bersama angkatannya pada ogos 1872 namun Raja Mahadi hanya berkuasa di Kuala Lumpur selama 7 bulan sahaja kerana selepas itu Tunku Kudin telah meminta bantuan dari Pahang untuk menguatkan pasukannya bagi menyerang Kuala Lumpur. Pada mac 1873, bantuan askar Pahang telah tiba dan Kuala Lumpur berjaya dirampas kembali oleh Tunku Kudin dari tangan Raja Mahadi.

Sejurus kekalahan Raja Mahadi ini, Tunku Kudin menggunakan kuasa inggeris untuk melenyapkan semua pengaruh dan bantuan yang diberi kepada Raja Mahadi dalam membina empayarnya. Rancangan Tunku Kudin ini berjaya apabila Sir Andre Clarke memerintahkan saudagar-saudagar negeri selat supaya jangan membantu Raja Mahadi lagi. (Sepanjang perang saudara ini tercetus, Raja Mahadi dapat bantuan kewangan dari saudagar-saudagar tersebut). 

Oleh itu, Raja Mahadi telah mengalami kesukaran dan kedudukannya ansur pudar manakala Tunku Kudin yang sememangnya bersahabat baik dengan inggeris kembali berkuasa penuh ke atas seluruh negeri Selangor pada november 1873.

Sebenarnya bantuan inggeris yang diberikan kepada Tunku Kudin ini mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu tak lain tak bukan untuk menjadikan Selangor sebagai wilayah naungannya. Pada tahun 1874, pengaruh inggeris mula bertapak di Selangor dan pada 18 november 1874, Selangor secara rasminya dijadikan jajahan takluk inggeris. Dengan itu, J.G. Davidson dilantik sebagai residen pertama di Selangor dan beliau telah bergabung bersama Tunku Kudin untuk mentadbir Selangor.

Namun begitu, Raja Mahadi tetap tidak pernah berputus asa dan tak kenal erti jemu untuk menakluk Klang. Maka dengan itu pada oktober 1875, beliau sekali lagi membuat serangan ke atas Selangor tetapi kali ini rancangannya tidak menjadi kerana kekurangan bantuan. Raja Mahadi ditangkap dan dipenjarakan di Singapura tetapi hanya dipenjarakan untuk beberapa ketika sahaja. 

Setelah dibebaskan beliau hidup sebagai orang buangan di Singapura dan ditakdirkan Allah pada 10 januari 1882, Raja Mahadi mangkat di sana kerana mengalami penyakit batuk kering.
Tunku Kudin pula telah meletakkan jawatannya di Selangor pada November 1878 kerana dikatakan beliau tidak sehaluan dengan residen Selangor yang ke 2, Bloomfield Douglas. 

Setelah pencen, Tunku Kudin menjalankan perniagaan kayu bakau di sekitar Klang sehingga beliau membuat keputusan untuk menetap di Pulau Pinang pada tahun 1884. Di sana, Tunku Kudin menghabiskan sisa-sisa hidupnya sehingga matanya buta dan pulang ke pangkuan Ilahi pada tahun 1906.

Begitulah kisah Perang Saudara di Klang ini. Puncanya hanya kerana sebuah daerah sahaja tapi berleret bertahun-tahun perangnya sampaikan ramai yang terkorban nyawa dan akhirnya maruah negeri tergadai. 

Seandainya Daeng Perani dan Daeng Chelak mengetahui cucu cicictnya berkelahi dengan dahsyat sekali tentunya mereka akan menangis kesedihan melihat cucu cicitnya sanggup berbunuhan antara satu sama lain hanya kerana ingin merebut sebuah tempat. 

Selain itu sikap cucu cicitnya tidak seperti sikap mereka yang berkasih sayang antara satu sama lain yang telah dipupuk sejak mereka sebelum mencipta kejayaan lagi sehinggalah mereka berjaya menegakkan kedaulatan Bugis di Tanah Melayu. 

Bugis yang dikenali sebagai golongan yang mempunya persetiaan yang kukuh telah berjaya disematkan dalam sanubari 5 Opu Daeng bersaudara itu namun tidak bagi cucu cicit mereka yang sanggup bermusuhan.

Gambar : Istana Mahkota Puri.

Sumber :-
1. Sejarah Selangor (Buyong Adil)
2. Perang Saudara Di Selangor 1868-1873
(A. Talib Bin Hj Ahmad)
3. A History Of Selangor (J.M. Gullick)
4. Selangor, Sejarah dan Proses Pembangunannya (Adnan Hj Nawang dan Mohd Fadzil Othman)
5. Malayan Forts (Jabatan Musium Negara)
6. Sejarah Kedah Sepintas Lalu
(Haji Ibrahim Ismail)
7. Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (Muhammad Hassan Bin To' Kerani Mohd Arshad)
- Irham Aqil -

Comments

Popular posts from this blog

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

TIADA SIAPA INGINKAN NAJIB BEBAS.