Pemasaalahan Rohigya Di Myanmar... Bhg 2
Kecelaruan identiti bangsa Rohingya, antara penduduk asli (Islam) Arakan dan pendatang Bangladesh. Satu tinjauan dari abad ke 16 hingga 21 juga melibatkan dendam antara etnik Rohingya dan Rakhine.
Asal – usul bangsa Rohingya
Mereka adalah penduduk asal (Muslim) di utara Arakan (Rakhine State menurut wilayah pemerintahan Myanmar) yang bersempadan dengan Bangladesh. Pada tahun 1799, seorang bangsa Scott, Francis Buchanan Hamilton yang menulis tentang “Burmese Empire” mengatakan terdapat tiga dialek utama yang dituturkan di Burma, salah satu darinya adalah Rooinga iaitu bahasa penduduk asli Arakan. Rohingya berasal dari nama “Rohang” atau “Rohan” sebutan yang digunakan di Bengal, iaitu nama yang digunakan bagi merujuk kepada penduduk Arakan semasa abad ke-9 dan ke-10. Bentuk muka bumi Arakan yang dipisahkan dari bahagian lain Burma oleh banjaran gunung menjadikannya lebih rapat kepada kerajaan Bengal di utara, dari segi sejarah dan budaya.
Ada juga sumber mengatakan asal keturunan Rohingya ini adalah pedagang-pedagang Arab, Mughal dan Bengali yang telah bermastautin di Arakan. Rohingya ini tinggal bersama-sama kaum Rakhine (mojoriti) yang susurgalurnya adalah Hindu dan Mongol. Bagaimanapun terdapat argumen-argumen, terutama dari etnik Rakhine dan Burma lainnya yang menuduh bahawa buruh-buruh dari Bengali (Bengal) telah menetap di Arakan sejak zaman kolonial British lagi dan menafikan tuntutan sejarawan Rohingya kononnya Arakan pernah diperintah oleh raja-raja Islam, walaupun terdapat bukti menunjukkan raja-raja Islam Arakan pernah mengeluarkan syiling pada tahun 1554/5 dengan cetakan “kalimah” diatasnya. Professor Michael Charney pernah menulis raja-raja Islam Arakan lebih toleran dan melindungi setiap pengamal agama selain Islam., malah idenditi masyarakat berlandaskan agama tidak pernah wujud di Arakan sebelum penghujung abad ke-18. Menurut Charney lagi, dianggarkan 2/3 penduduk Arakan adalah beragama Islam.
Pada tahun 1785, Arakan telah jatuh ke tangan Dinasti Konbaung, menyaksikan 35,000 penduduknya melarikan diri ke Chittagong. Sempadan Bengal – Arakan mansuh selepas perang Anglo – Burma yang pertama pada tahun 1824 hingga 1826 apabila Arakan diserahkan kepada British. Pada ketika itu, menurut Charles Paton, Sub-Commisioner untuk wilayah Arakan, orang Islam merupakan 30% dari jumlah 100,000 penduduk Arakan. Selebihnya adalah 60% etnik Rakhine dan 10% Burma. British telah menggalakkan kedatangan orang-orang Islam (buruh ladang) dari Chittagong ke Arakan yang mana polisi ini ditentang oleh etnik Buddha Rakhine. Oleh itu, Rohingya hari ini adalah generasi hamba-abdi yang dibawa masuk oleh raja-raja Arakan dari Bengal dan juga dari gelombang kedua para buruh yang dibawa masuk oleh British. Bancian yang dijalankan oleh British pada tahun 1872 menunjukkan terdapat 58,255 orang Islam di Daerah Akyab dan jumlah itu meningkat kepada 178,647 orang pada tahun 1911.
Zaman Kolonial
Apabila British menguasai Burma, wilayah-wilayah pentadbiran telah dipecahkan mengikut etnik atau bahasa ibunda, walaupun sebelum itu masyarakat-masyarakat Burma telah biasa hidup bercampur gaul antara satu sama lain. Sebagai contoh mudah, etnik Kachin dan Shan boleh memilih samada hendak tinggal dalam sistem sosial Kachin atau Shan mengikut keselesaan mereka, walaupun bahasa pertuturan mereka menunjukkan mereka dari etnik yang berbeza. British juga mengamalkan pilih kasih apabila mereka mengambil orang-orang India berkerja berbanding orang Burma kerana orang India telah memahami selok-belok birokrasi pentadbiran kerajaan British.
Perang Dunia ke-2
Ketegangan antara Buddha dan Islam di Arakan meningkat apabila British berundur ke India dan Arakan jatuh ke tangan Jepun. Etnik Rakhine (Buddha) kebanyakkannya menyebelahi Jepun dan Tentera Pembebasan Burma pimpinan Aung San, manakala orang-orang Islam telah dibekalkan dengan senjata oleh pihak British. Perang saudara meletus antara Rohingya dan orang-orang Rakhine. Menurut Aye Chan, sejarawan dari Universiti Kanda, Rohingya telah menyerang kampung-kampung Rakhine mengorbankan kira-kira 20,000 orang. Serangbalas etnik Rakhine pula mengorbankan 5,000 orang Rohingya. Tentera Jepun pula melakukan pembunuhan, perkosaan dan seksaan ke atas Rohingya yang mengakibatkan 22,000 mencari perlindungan di Bengal. Rohingya telah dijanjikan sebuah negara Islam yang bebas dari Burma setelah British mengambilalih pemerintahan dari Jepun selepas Perang Dunia ke-2 tamat, kononnya sebagai membalas budi kepada kesetiaan Rohingya kepada British. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, British hanya melantik orang-orang Rohingya yang tertentu memegang jawatan rasmi didalam koloni-koloni
British di Burma.
Pada tahun 1947, setelah tertubuhnya Pakistan, kaum Rohingya telah menemui Presiden Muhammad Ali Jinnah dan meminta supaya wilayah Arakan dimasukkan ke dalam Pakistan (ketika itu Bangladesh yang terletak di sempadan Arakan adalah wilayah Pakistan Timur). Bagaimanapun, Presiden Pakistan itu menolak permohonan Rohingya atas alas an beliau tidak mahu campurtangan dengan urusan dalaman Burma. Ramai berpendapat inilah punca ketegangan antara kerajaan Burma dan minoriti Rohingya. Apabila Burma mengumumkan kemerdekaan pada tahun 1948, kebanyakan jawatan kerajaan yang disandang oleh Rohingya telah digantikan dengan puak Buddha Arakan, yang mana telah mula mengubah polisi-polisi yang dianggap tidak adil dan memihak kepada Rohingya.
Pemberontakan bersenjata Mujahid.
Pada tahun 1947, sebuah pertubuhan yang dinamakan Mujahid telah ditubuhkan dengan objektif membentuk sebuah kerajaan Islam di Arakan. Bagaimanapun gerakan ini telah ditumpaskan selepas General Ne Win (yang merampas kuasa pada tahun 1962) melancarkan operasi selama dua dekad untuk menamatkan pemberontakan bersenjata mereka.
Sebelum 1962, komuniti Rohingya telah diiktiraf sebagai etnik asli dan warganegara Burma, dengan ada antara mereka berjaya menjawat jawatan sebagai ahli parlimen, menteri dan lain-lain jawatan tinggi kerajaan. Namun, keadaan ini tidak kekal lama setelah junta tentera Tatmadaw (Angkatan Tentera Myanmar) merampas kuasa pada tahun 1962. Rohingya telah diisytiharkan sebagai komuniti “tanpa negara” dan “pendatang asing”. Perkara ini telah dinyatakan dalam Akta Warganegara pada tahun 1982, dan hak mereka sebagai pengundi telah dinafikan pada pilihanraya tahun 1990.
Perang Pembebasan Bangladesh dari Pakistan (1971-73).
Antara tahun 1971 hingga 1973, Perang Pembebasan Bangladesh (pemisahan Bangladesh yang dahulu dikenali sebagai Pakistan Timur) dari Pakistan telah menyaksikan penghijrahan 10 juta pelarian ke negara-negara jiran. Pada tahun 1975, Duta Bangladesh ke Burma, Khwaja Mohammed Kaiser mengakui kira-kira 500,000 pelarian telah menyusup masuk ke Arakan. Dari tahun 1971 hingga 1978, sami-sami Buddha Rakhine telah melakukan mogok lapar menuntut kerajaan Burma mengatasi kemasukan pelarian ini yang telah mengubah keseimbangan demografi di wilayah tersebut.
Kerajaan Ne Win telah meminta PBB menghantar pulang para pelarian ini, dan pada masa yang sama melakukan operasi ketenteraan mengusir 200,000 pelarian kembali ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh pula memprotes langkah Burma yang “mengusir dengan kekerasan rakyat Islam Burma” ke wilayahnya. Selepas perbincangan dengan PBB, pada bulan Julai 1978, kerajaan Burma bersetuju menerima kembali 200,000 pelarian ini dan ditempatkan di Arakan. Pada tahun 1982, kerajaan Burma melalui Akta Warganegara telah mengisytiharkan mereka ini sebagai “Bengali” dan pendatang asing.
Nasib Rohingya – tanpa negara
Semenjak 1948, hampir 1.5 juta Rohingya telah dipaksa meninggalkan Burma. Dianggarkan masih terdapat 800,000 lagi masih berada di Burma (kini Myanmar), sementara 600,000 di Bangladesh, 250,000 di Pakistan, 300,000 di Arab Saudi dan 100,000 lagi di UAE, Thailand dan Malaysia. Sumber
ps: para pembaca disaran untuk membaca komen-komen di di facebook itu untuk mendapat gambaran yang lebih jelas...
Comments