MCA Masih Tidak Memahami Aspirasi Rakyat


1. Isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih terus diperkatakan dan dijadikan alat politik perkauman biarpun secara umumnya ia bukan masalah kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

2. Kaum bumiputera sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini yang berjumlah hampir 70% penduduk Malaysia hanya menguasai 19% ekuiti perniagaan dalam negara ini. Selebihnya dikuasai oleh bukan bumi dan orang asing. Kaum bukan Bumi menguasai 44%, bukan warganegara sebanyak 30% dan selebihnya ialah syarikat Nominee.

3. Jadi mengapa dipersoalkan sedikit keistimewaan bumiputera sedangkan ia tidak pun menjejaskan kekuatan ekonomi kaum Cina. Bacalah pandangan Tan Sri Liew Kee Sin yang dalam kongres yang sama. Apakah dengan wujudnya dasar pro bumiputera sejak 1970 hingga sekarang orang Cina menjadi semakin miskin atau semakin kaya?

4. Jawapannya adalah dalam pengetahuan umum sama ada secara statistik mahu pun pandangan kasar. Senarai pemilikan hartanah komersial juga menunjukkan kaum Cina menguasai hampir 70%. Justeru permintaan 30% ekuiti Bumi bukanlah sesuatu yang sangat besar sehingga dianggap menekan dan menindas kaum bukan Bumi.

5. Dalam konteks inilah saya melihat pandangan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bahawa rakyat mempertikaikan penguasaan Bumiputera dalam penerimaan kontrak kerajaan terutama dalam bidang binaan sebagai tidak rasional dan tidak menemui kehendak rakyat yang sebenar.

6. Perbincangan mengenai kontrak dan tender kerajaan serta industri pembinaan merupakan perbincangan yang tidak memberi faedah besar kepada negara. Bidang pembinaan terutamanya membabitkan kontrak kerajaan merupakan industri yang sedang menguncup (shrinking industries).

7. Kenyataan Dr. Chua mengenai kontraktor kelas F bumiputera juga sangat tidak wajar. Berdasarkan pengalaman sebagai Menteri Besar, saya percaya hampir 90% kontraktor kelas F adalah kontraktor tulen. Bukankah aneh untuk Presiden MCA membicara perkara yang sangat kecil iaitu projek-projek kelas F?

8. Selain itu, sungguhpun kebanyakan kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan ialah kaum bumiputera kebanyakan pembekal dan pemborong dikuasai oleh kaum bukan bumi terutamanya kaum Cina. Hampir 1/3 kos projek kerajaan telah pun dikuasai oleh kaum Cina. Jika kaum Cina juga memonopoli kontrak kerajaan bermakna agihan ekonomi yang adil itu sudah tidak berlaku.

9. Kongres Ekonomi Cina sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk membesarkan peluang ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan (services industry) dan industri pembuatan yang sekarang ini banyak dikuasai oleh syarikat antarabangsa. Alangkah baiknya jika Kongres
Ekonomi Cina turut membincangkan bagaimana mahu membantu kaum bumiputera yang masih tertinggal untuk turut menikmati kemakmuran negara ini terutamanya dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum Cina.

10. Sebenarnya apa yang Presiden MCA nyatakan tersebut ialah isu-isu di kalangan ahli perniagaan Cina bukannya suara rakyat banyak. Justeru MCA harus berfikir sama ada ia mahu terus menjadi parti ahli perniagaan Cina semata-mata atau menjadi parti kaum Cina keseluruhannya.

11. Bagi majoriti rakyat di bawah tanpa mengira kaum, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan yang kebih tinggi merupakan agenda utama sekarang ini. Peningkatan harga barang, pengangkutan, dan gas memasak telah meningkatkan kos sara hidup hari ini sedangkan tiada indikator jelas kenaikan gaji terutamanya di sektor swasta. Memandangkan kebanyakan rakyat membeli rumah secara pinjaman, kenaikan kadar pinjaman asas turut menyempitkan lagi poket mereka.

12. Sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini rungutan semakin banyak mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk gas untuk memasak. Dan siapakah pemimpin BN yang bercakap secara serius masalah ini?Bagaimanakah Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mahu menyelesaikannya?

13. Inilah perkara-perkara asas yang MCA sebagai parti pro perniagaan perlu membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian.

14. Datuk Seri Chua Soi Lek merupakan ahli politik yang berpengalaman dan sangat efisyen dalam membawa perubahan kepada Kementerian Kesihatan ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan. Sebagai seorang yang pernah dalam bidang perkhidmatan kesihatan kerajaan, saya fikir Dr. Chua seorang Menteri Kesihatan terbaik yang pernah dimiliki oleh negara ini.

15. Justeru saya berharap, sebagai seorang Presiden parti komponen BN, Dr. Chua harus memahami aspirasi rakyat bawah seperti mana beliau melihat Kementerian Kesihatan dari kaca mata rakyat bawahan suatu ketika dahulu.

cetusan Dr. Khir Toyo.

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID