Mengemis’ demi dialisis


Hidupnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah suami ditangkap polis akibat kes dadah, ibu bapa yang sudah tua pula jatuh sakit, dan dia pula disahkan menghidap masalah buah pinggang kronik.

Tidak mampu mengerah kudrat yang ada untuk bekerja kerana turut menghadapi masalah semput yang serius, Elmawati Abdul Kadir, 37, tidak mempunyai cara lain untuk mencari wang bagi menanggung kos rawatan dialisis yang perlu dilakukan untuk meneruskan hidup, melainkan ‘menagih’ bantuan daripada orang ramai di kaki lima kedai.

Wanita ini sanggup duduk di kaki lima kedai, ‘bermodalkan’ sebuah balang dan nota bertulis untuk memohon derma daripada orang ramai bagi rawatan dialisis.

“Saya perlu menjalani rawatan mencuci buah pinggang sebanyak dua kali seminggu yang mana setiap rawatan saya perlu membayar sebanyak RM250 dan dalam tempoh sebulan, saya perlu membelanjakan sebanyak RM2,000 untuk kos rawatan sahaja.

“Saya tidak mempunyai cara lain untuk mendapatkan wang dan terpaksa meminta simpati daripada orang ramai. Perasaan malu saya tolak tepi kerana saya perlu menjalani rawatan dialisis jika tidak keadaan saya lebih teruk.

“Saya tidak mahu terlantar kerana saya mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Susah macam mana pun, saya perlu mengutamakan kesihatan dahulu kerana hidup perlu diteruskan. Saya perlu sihat untuk kembali bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Changkat, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya masalah buah pinggang yang dihadapinya berpunca daripada penyakit darah tinggi yang sudah lama dihadapinya.

Sejak itu, dia tidak mampu lagi bekerja kerana berhadapan masalah semput akibat tidak melakukan rawatan mencuci buah pinggang mengikut jadual yang ditetapkan doktor.

Jika sebelum ini dia bekerja sebagai konduktor bas untuk menanggung anak-anak dan ibu bapanya, namun kini dia terpaksa mengharap ihsan adik-beradik yang lain untuk membantunya menyediakan keperluan asas.

“Saya bersyukur dikurniakan adik-beradik yang tidak berkira tetapi mereka juga bukannya orang yang senang dan mempunyai keluarga sendiri. Cuma buat masa ini, saya terpaksa bergantung kepada mereka kerana tidak bekerja.

“Jika dahulu, saya bantu emak menjual nasi lemak tetapi sejak dia diserang angin ahmar separuh badan, dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa. Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai penyakit jantung dan darah tinggi.

“Bapa pula kini sudah seminggu dirawat di hospital kerana masalah semput yang serius.

“Saya reda dengan segala yang menimpa, mungkin ini caranya Allah nak uji saya,” katanya.

Sedih mengenangkan masa depan dua anak perempuannya yang berusia 7 dan 8 tahun, kerana kesusahan yang ditimpa mereka sekeluarga.

Kata Elmawati, saudaranya pernah berhasrat untuk mengambil anak-anaknya sebagai anak angkat tetapi dia tidak mahu membiarkan darah dagingnya itu dijaga orang lain.

“Saya mengandungkan mereka sembilan bulan, bukan sesuatu yang mudah untuk saya lepaskan. Saya tahu hidup susah tetapi anak-anak inilah harta dunia dan akhirat.

“Walaupun tidak banyak wang ringgit yang boleh diberikan kepada mereka, cukuplah sekadar kasih sayang yang saya berikan kepada mereka. Walaupun anak-anak masih kecil, mereka seakan faham kesusahan saya,” katanya.

Masih menanti permohonan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk diluluskan, Elmawati juga bercadang untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan sedikit beban yang ditanggungnya.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

12207020274174 (BANK ISLAM)
Elmawati Abdul Kadir

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID