Pemuda Ingatkan Majlis Peguam Jangan Cabar Kesabaran Orang Melayu


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu Majlis Peguam tidak mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam di negara ini dengan cuba meniupkan isu perkauman dan agama sehingga boleh menjerumuskan rakyat kepada situasi yang tegang serta bermusuhan.

Sambil mengingatkan Majlis Peguam agar tidak melanggar hak dan batasan kebebasan bersuara sehingga boleh mencetuskan kemarahan sesuatu kaum Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kesabaran Umat Islam dan Orang Melayu ada batasannya dan jangan sekali-kali menduganya.

"Tidak ada yang kurang dalam hubungan kita sesama rakyat Malaysia berbilang kaum selama ini. Sikap toleransi dan keharmonian yang selama ini kita kecapi perlu terus dipertahankan agar generasi akan datang turut berpeluang menikmatinya.

"Tindakan Majlis Peguam ini dilihat hanya akan menimbulkan pelbagai masalah baru jika hasrat mereka diteruskan", katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Tegas beliau lagi rakyat pelbagai kaum di negara ini sudah matang dan diseru untuk sama-sama menolaknya demi kebaikan bersama.

"Sudah tiba masanya kita semua berganding bahu, bersatu padu menjaga hak dan sensitiviti semua kaum berbilang agama selain membina dan bukan berpakat meruntuh segala-gala yang telah kita bina selama ini", ujarnya.

Justeru tambah beliau Pemuda menyeru semua pihak menolak mereka yang cuba menggagalkan misi dan visi kerajaan bagi menjadikan Malaysia Negara Maju menjelang 2020 yang kekal dalam suasana aman, bebas, hormat menghormati, penuh dengan toleransi dan dalam acuan kita sendiri.

Katanya lagi Majlis peguam hendaklah berlaku adil dan bukan hanya memilih isu atau perkara yang boleh menjejaskan struktur masyarakat.

"Forum ini dilihat sengaja diadakan untuk mensensasikan isu lama yang telahpun diterima ramai dan merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

"Sebagai badan yang dianggotai oleh pengamal undang-undang, mereka sepatutnya faham bahawa tugas mereka adalah untuk memastikan perjalanan sesebuah masyarakat menjadi lebih teratur", katanya.

Tegas beliau memilih tajuk yang sensitif seperti ini tidak menguntungkan sesiapa malah mencabar hak atas alasan perundangan dan hak kebebasan bersuara tanpa had semata-mata tidak boleh diterima sama sekali.

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

MELAYU PARANOID