AL-Fatihah... Hari Ini, Genap 66 Tahun Peristiwa Serangan Bukit Kepong Oleh Pengganas Komunis...





Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:

Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
Keadaan balai polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis.

Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan menurut kandungan buku "Memoir Abdullah C.D.", diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu. Hal ini juga disahkan oleh Chin Peng semasa wawancara oleh penulis buku Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack. Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja,[perlu rujukan] bagaimanapun serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk. Pihak komunis mengepung Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 0415H. Apabila Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

Sekitar pukul 0500H pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.

Sekitar pukul 0700H, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 anggota AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari balai polis Bukit Kepong. Keupayaan senjata mereka amat terhad berbanding pengganas komunis yang menggunakan senjata automatik dan separa automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.

Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.

Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada jam 1000H dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan

Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Penghulu Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar dan Lenga. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texas) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.

Mereka yang terselamat

Anggota Polis yang terselamat
Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota yang terselamat
Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Abu Samah bin Muhammad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Mereka yang gugur dalam pertempuran


Anggota Polis yang terkorban
Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad

Polis Bantuan / Auxiliary Police yang terkorban
Ins. Kudarina Naknok
AP 2130 Samad bin Yatim
AP 1912 Mahmud bin Sa'at
AP 1925 Ali bin Akob
AP 2127 Othman Yahya

Keluarga Anggota yang terkorban
Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
AP 2098 Redzuan bin Alias
Embong bin Lazim
Mendiang Koh Ah Cheng 


Al-Fatihah buat mereka yang terkorban...


Ingatlah... komunis hanya letak senjata tapi mereka tak buang idealogi....

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

TIADA SIAPA INGINKAN NAJIB BEBAS.