Kerajaan Tidak Sesekali Tunduk Kepada Desakan Golongan LGBT...

Kerajaan tidak sesekali tunduk kepada desakan pihak yang mahukan hak-hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diiktiraf demi mematuhi prinsip hak asasi manusia tanpa batas, kerana ia adalah dosa besar mengikut Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jika tuntutan golongan itu dipenuhi, kesucian Islam akan tergugat dan institusi keluarga tidak dapat dipertahankan.

“Kerajaan tidak sekali-kali menghalalkan sebarang perbuatan dosa besar atas dasar menghormati hak peribadi. Yang haram di sisi Islam tetaplah haram.

“Apabila mereka hendak menganjurkan festival gay di negara kita, kerajaan tidak benarkan kerana kita hendak menjaga masyarakat kita daripada keruntuhan moral dan akhlak,” katanya ketika berucap menutup Seminar Isu-Isu Seksualiti Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad.

Jamil Khir berkata, cara hidup songsang yang diamalkan kumpulan LGBT dilihat semakin menular kepada generasi muda dan jika tidak dibendung, ia akan memberi impak negatif kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat serta boleh mengucar-ngacirkan negara.

Katanya, golongan itu mempersoalkan mengapa hak mereka dibezakan dan kononnya berlaku diskriminasi, sedangkan mereka sedar cara hidup yang sedemikian tidak diterima oleh Islam.

“Mereka menuduh kononnya kita tidak mengamalkan prinsip kesamarataan yang menjadi perkara asas dalam sebuah masyarakat yang demokratik.

“Kononnya atas nama globalisasi, hak asasi dan demokrasi, kita dipaksa menerima konsep kebebasan individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, gaya hidup gay dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengalu-alukan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam lain untuk berganding bahu bersama-sama mempertahankan akhlak, moral dan akidah umat Islam demi kesejahteraan sejagat.

“Penganjuran seminar ini contohnya, yang memberi penekanan kepada salah laku seks, impak dan cara menanganinya dalam kalangan generasi muda hari ini merupakan satu paltform terbaik bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang salah laku seksual dan bersama-sama menggalas tanggungjawab menangani permasalahan ini.

“Semoga generasi muda kita akan lebih terdidik tentang penghayatan dan mengamalkan norma-norma masyarakat sejagat. Sekiranya permasalahan ini menular dalam kalangan anak muda, impak yang buruk boleh berlaku dan menjejaskan kestabilan negara,” katanya. – Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

TIADA SIAPA INGINKAN NAJIB BEBAS.