Perang Kelang: Pertempuran Keturunan Opu Bersaudara...


Bahagian I.

Selepas tiga tahun Sultan Muhammad (Sultan Selangor ke 3) melantik Raja Jumaat sebagai Orang Besar Lukut, baginda melantik pula putera sulungnya Raja Sulaiman sebagai Orang Besar Klang pada tahun 1839. Raja Sulaiman mempunyai beberapa orang putera dan putera sulungnya bernama Raja Mahadi. Raja Sulaiman mentadbir Klang selama 14 tahun dan mangkat pada tahun 1853.

Sepatutnya jika mengikut adapt kebiasaan orang Melayu, pewarislah yang akan naik menggantikan untuk menjadi pemerintah yang baharu yakni Raja Mahadi yang akan dilantik namun perkara itu tidak berlaku seperti kebiasaannya. Ini kerana Raja Jumaat telah berjaya mempengaruhi Sultan Muhammad untuk melantik adindanya yang bernama Raja Abdullah untuk dijadikan pemerintah yang baru di Klang. 

Tambahan pula Sultan Muhammad memang banyak terhutang budi kepada Raja Jumaat yang membantunya melangsaikan hutang-hutangnya dahulu. Di fikiran Sultan Muhammad inilah masanya untuk membalas jasa budi Raja Jumaat itu maka Raja Abdullah pun dilantik sebagai Orang Besar Klang yang baru dan hak Raja Mahadi ke atas Klang sekaligus dinafikan.

Lantikan tersebut telah membuatkan Raja Mahadi tidak berpuas hati dan dirinya amat kecewa dan tersinggung serta menyimpan perasaan api amarah dalam dirinya. Walau bagaimana pun, Raja Mahadi taat dengan perintah keputusan nendanya, Sultan Muhammad itu dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana beliau tidak punyai pengaruh yang besar yakni belum ada kekuatan, wang dan pengikut. Lantaran dari itu, Raja Mahadi menjadi rakyat biasa dari seorang anak orang besar yang hidup lumayan dan terpaksa mencari sesuap nasi dengan menjalankan perniagaan.

Ketika Raja Abdullah mentadbir Klang ramai orang-orang cina dan orang Melayu Sumatera (Batu Bara) datang ke Klang untuk membuka kawasan perlombongan bijih timah. Banyak kawasan perlombongan bijih timah dibuka oleh Raja Abdullah di sekitar Lembah Klang sekaligus telah membuka Kuala Lumpur dan melantik Yasih yang dibawa dari Riau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ditakdirkan Allah, Sultan Muhammad telah mangkat pada tahun 1857 dan dua tahun kemudian barulah ada perlantikan Sultan Selangor yang baru iaitu Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1866, telah nampak cirri-ciri penyebab tercetusnya peperangan antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah. Pada satu ketika, Raja Abdullah telah memperkenalkan undang-undang yang baru di Klang dimana semua orang termasuk kerabat Raja Selangor wajib membayar cukai barang perniagaan di Klang. Undang-undang terdahulu menyatakan kerabat raja terkecuali dari membayar cukai tersebut. Ketika undang-undang ini diperkenalkan, kebetulan Raja Mahadi baru pulang dari rantauan untuk mengambil barang untuk diniagakan di Klang. 

Tiba saja di pejabat kastam Raja Abdullah, barangnya telah dirampas kerana beliau enggan membayar cukai kerana beliau masih berpegang dengan undang-undang warisan terdahulu. Perubahan undang-undang ini dianggap oleh Raja Mahadi sebagai tindakan yang melampaui batas.
Dikatakan juga orang-orang Raja Abdullah sering membuat kacau kepada orang-orang Batu Bara yang bermastautin di Klang itu. 

Antaranya mereka sering menganiaya orang-orang Batu Bara tersebut dengan merampas padi ternakan sesuka hati mereka, ada juga anak-anak gadis orang Batu Bara diculik serta sering mengasari orang-orang Batu Bara di sekitar Klang hanya kerana perkara yang kecil sahaja. Ini telah membuatkan orang-orang Batu Bara yang diketuai oleh penghulu mereka yang bernama Muhammad Akib telah melancarkan serangan ke atas orang-orang Raja Abdullah yang diam di dalam kubu Datuk Bandar Yasih. 

Dalam pergaduhan itu, seorang dari kalangan orang Batu Bara telah mati ditikam. Sejurus insiden pembunuhan itu, Muhammad Akib telah pergi menemui Raja Abdullah untuk mengadukan hal tersebut dan menuntut keadilan ke atas kematian orangnya namun sikap Raja Abdullah yang tidak ambil peduli akan hal itu telah membuatkan Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara menyimpan dendam kepada Raja Abdullah.

Muhammad Akib pergi pula menemui Raja Mahadi untuk mengadukan sikap Raja Abdullah itu dan beliau menyatakan ingin membalas dendam kepada Raja Abdullah. Kedatangan Muhammad Akib ini memang kena benar dengan masanya kerana sperti yang tersedia maklum Raja Mahadi juga memang menyimpan dendam yang teramat sangat pada Raja Abdullah itu. Hasrat Raja Mahadi untuk mengambil Klang sebagai haknya semakin tercapai tambah-tambah lagi apabila Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara sanggup bertuankan Raja Mahadi dalam peperangan kelak selain menawarkan diri mereka sebagai askar-askarnya.

Sebagai persiapan untuk berperang, Raja Mahadi telah meminjam wang dari saudagar cina di Melaka untuk membeli beberapa senjata dan kelengkapan untuk berperang. Selain itu, Raja Mahadi telah membawa masuk meriam-meriam Belanda yang berada di Kota Melawati ke Klang sebagai alat senjata utama untuk diletakkan di benteng hadapan kotanya.

Selain mendapat bantuan dari orang-orang Batu Bara, Raja Mahadi juga menggunakan khidmat orang-orang Mandailing sebagai askar-askarnya juga. Menariknya disini, walaupun Raja Mahadi itu berbangsa Bugis tetapi tiada seorang Bugis pun yang digunakan sebagai juak-juaknya malah Bugis banyak menyebelahi Raja Abdullah. 

Langkah yang pertama dibuat oleh Raja Mahadi ialah melancarkan serangan ke atas Raja Abdullah serta orang-orangnya yang pada ketika itu berkubu di sebuah gudang milik Raja Abdullah. Asakan serangan yang hebat ini telah membuatkan Raja Abdullah serta pihaknya terpaksa membuat gencatan senjata dan beliau sendiri telah diusir keluar dari Klang oleh Raja Mahadi. Susulan itu Raja Abdullah serta keluarganya terpaksa meninggalkan Klang dan menetap di Melaka.

Namun begitu, Raja Mahadi belum dapat berkuasa penuh di Klang kerana Raja Abdullah masih belum tewas sepenuhnya walaupun beliau telah diusir kerana beliau telah mengarahkan anak-anaknya yang bernama Raja Ismail dan Raja Hassan untuk mengambil alih tempatnya bagi meneruskan perjuangan untuk mempertahankan Klang. Dengan itu serangan dari orang-orang Bugis yang diketuai Raja Ismail telah bergerak menuju ke kota Raja Mahadi untuk melancarkan serangan. 

Dalam serangan ini Raja Hassan cedera di betis kerana ditembak oleh pihak Raja Mahadi dan beliau telah berundur ke Melaka dan menetap bersama ayahandanya manakala Muhammad Akib pula telah mati ditembak oleh orang Bugis dan tempatnya sebagai ketua kepada orang-orang Batu bara telah digantikan oleh adiknya yang kemudian digelar Datuk Dagang.

Raja Mahadi telah mengambil tindakan untuk menyekat barang-barang keperluan seperti makanan dari luar yang dibawa masuk ke Klang bagi tujuan untuk melemahkan pihak Raja Ismail. Sekatan ini berlaku selama lima bulan dan ini menyebabkan pihak Bugis yang diketuai Raja Ismail itu semakin lemah. Akhirnya Raja Ismail mengaku kalah kepada Raja Mahadi setelah berbulan-bulan berperang. 

Dengan ini secara tak langsung Raja Mahadi berjaya mencapai hasratnya untuk mengambil Klang dan mula pada saat itu beliau telah menjadi Orang Besar Klang yang baru.

Bersambung...

Gambar : Pintu gerbang Kota Raja Mahadi (kini tapak kota telah dijadikan tapak bagi bangunan pejabat Majlis Perbandaran Klang)

Sumber :-
- Sejarah Selangor (Buyong Adil)
- Perang Saudara Di Selangor 1868-1873
(A. Talib Bin Hj Ahmad)
- A History Of Selangor (J.M. Gullick)
- Selangor, Sejarah dan Proses Pembangunannya (Adnan Hj Nawang dan Mohd Fadzil Othman)
- Malayan Forts (Jabatan Musium Negara)
- Sejarah Kedah Sepintas Lalu
(Haji Ibrahim Ismail)
- Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (Muhammad Hassan Bin To' Kerani Mohd Arshad)
- Irham Aqil -
- Batu Bara atau Batubara ada sebuah daerah di utara Pulau Sumatera, 


Comments

Popular posts from this blog

1900 Paderi Melayu Sampai Dari Singapura.

Cubaan Bunuh Diri Isteri Raja Petra

TIADA SIAPA INGINKAN NAJIB BEBAS.