UMNO SELANGOR "DULU PANGLIMA KINI PENUMPANG"
Selepas PRN lalu, rakyat menghantar mesej yang cukup jelas apabila UMNO hanya mampu mempertahankan dua kerusi DUN. Itu bukan sekadar kekalahan, itu amaran keras daripada rakyat bahawa UMNO Selangor perlu berubah.
Malangnya, sehingga hari ini, yang berubah hanyalah jumlah kerusi. Cara berpolitik masih sama. Idea semakin kurang, suara semakin tenggelam dan gerak kerja semakin tidak kelihatan.
Rakyat Selangor bukan buta. Mereka melihat.
Mereka melihat sebuah parti yang dahulu cukup lantang bercakap soal maruah Melayu, institusi Raja-Raja dan hak rakyat, tetapi hari ini menikus daripada memperjuangkan prinsip.
Paling memalukan apabila UMNO Selangor dilihat sekadar menjadi penumpang majlis dalam isu-isu yang sepatutnya mereka sendiri terajui.
Bila isu melibatkan maruah DYMM Sultan Selangor timbul, UMNO Selangor sepatutnya menjadi pihak pertama menggerakkan rakyat. Bukankah mempertahankan Raja Berperlembagaan termaktub dalam Fasal 3.2 perlembagaan UMNO?
Tetapi apa yang berlaku? PAS yang menggerakkan himpunan, PAS yang memobilisasi penyokong, PAS yang memimpin naratif, UMNO pula datang sebagai peserta. sedangkan PAS dulu yang lantang mengkritik DYMM Sultan Selangor.
Kalau begini keadaannya, apa bezanya UMNO Selangor dengan sebuah NGO yang menunggu jemputan program?
Lebih menyedihkan, parti yang suatu ketika dahulu mendakwa dirinya sebagai benteng orang Melayu kini dilihat semakin layu dan lesu sehingga terpaksa menumpang momentum PAS untuk kelihatan masih wujud.
Kalau semua isu besar negeri pun UMNO Selangor tidak mampu kehadapan dan perlu menunggu pihak lain bergerak dahulu, rakyat berhak bertanya:
Adakah UMNO Selangor masih wujud, atau UMNO Selangor sudah "convert" menjadi NGO dan menjadi penumpang percuma dalam politik negeri?
Dan jika keadaan ini berterusan, jangan terkejut jika pada PRN akan datang, ahli-ahli UMNO sendiri mula bertanya satu soalan yang lebih menakutkan:
Kalau UMNO Selangor sendiri lebik dan lesu, mengapa rakyat perlu yakin untuk mengundi mereka diperingkat negeri?



Comments